Kes bunuh di pondok Cherok Tokun: Lelaki warga emas direman 7 hari
Oleh Nur Izzati Mohamad - April 30, 2025 @ 11:09pmbhnews@bh.com.my

Gambar hiasan. - Foto fail NSTP
BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki warga emas direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh di sebuah pondok di Cherok Tokun, di sini, petang Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris, berkata perintah reman sehingga Selasa depan itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, hari ini bagi membolehkan suspek disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Katanya, suspek berusia 70 tahun itu ditahan kira-kira jam 11 malam semalam di hadapan sebuah kedai kopi di kawasan Machang Bubok, di sini.
"Dengan penahanan ini, pihak polis telah berjaya menyelesaikan kes kematian melibatkan seorang lelaki berusia 63 tahun yang berlaku di sebuah pondok di Cherok Tokun petang Sabtu lalu," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki maut selepas dipukul dengan kayu sebelum ditikam pula dengan pisau.
Berdasarkan siasatan polis mendapati mangsa bersama lima rakan lain termasuk suspek sedang duduk bersembang di pondok berkenaan.
Namun, suspek secara tiba-tiba datang dari arah belakang mangsa terus memukul mangsa dengan sebatang kayu sehingga menyebabkan mangsa rebah ke lantai.
Suspek kemudian mengeluarkan sebilah pisau dan terus menikam mangsa sebelum beredar meninggalkan tempat kejadian.
Punca insiden berkenaan dikatakan kerana perselisihan faham di antara mangsa dan suspek.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/04/1390755/kes-bunuh-di-pondok-cherok-tokun-lelaki-warga-emas-direman-7-hari
|