
Kesemua suspek dibawa keluar dari Mahkamah Bintulu, pada Isnin.
BINTULU: Lapan suspek kes tetak dan bunuh di hadapan sebuah pusat hiburan sini baru-baru ini, pada Isnin dikenakan tahanan reman selama enam hari bagi membantu siasatan.
Majistret Zuraini Ali Musa mengarahkan kesemua suspek untuk hadir semula ke mahkamah pada 4 Mei jam 9 pagi.
Suspek yang terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita, sebahagiannya merupakan warganegara asing berumur 40-an.
Utusan Borneo difahamkan selepas insiden pergaduhan itu, kesemua suspek cuba melarikan diri ke Miri, namun berjaya ditahan pasukan polis dalam tempoh kurang 24 jam.
Kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan pihak polis masih giat mengesan saki-baki suspek yang masih bebas.
Turut hadir di mahkamah ialah ahli keluarga mangsa yang mengadakan tunjuk perasaan di luar bangunan mahkamah bagi menuntut keadilan dan ketelusan perundangan.
Walaupun suasana menjadi tegang, pihak polis berjaya mengawal keadaan dan mengelakkan berlaku sebarang insiden tidak diingini.
Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Nixon Joshua Ali menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam aktiviti jenayah yang mana akan berusaha sedaya upaya menangkap semua suspek terlibat.
"Saya pada masa sama menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes bunuh ini kerana dikhuatiri boleh mengganggu ketenteraman awam dan proses siasatan kes," tegas beliau.
Nixon turut meminta mana-mana individu atau saksi kejadian agar tampil memberikan maklumat bagi menyenangkan proses siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu di talian 086-318304.
|