
Abang Johari disambut delegasi Kerajaan Sarawak setibanya di Cardiff, UK pada Isnin. - Gambar Pejabat Premier Sarawak
KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tiba di Cardiff, United Kingdom (UK) pada Isnin dalam misi memperkukuhkan kerjasama antara pihak berkuasa semikonduktor UK dan Sarawak menerusi SMD Semiconductor Sdn Bhd.
Menurut satu hantaran di Facebook Sarawakku, Abang Johari mengetuai delegasi Kerajaan Sarawak dalam siri lawatan kerja ke UK selama empat hari.
Hari ini beliau dan delegasi Kerajaan Sarawak menjadi tetamu kepada SCA Catapult Innovation Centre di Newport, Cardiff.
SCA Catapult yang merupakan pihak berkuasa bertanggungjawab UK terhadap penggunaan dan pengkomersialan semikonduktor kompaun, telah menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan SMD Semiconduktor pada April tahun lalu.
"SMD dijangka akan bertukar dokumen perjanjian kerjasama dengan SCA Catapult dan dua lagi pemain semikonduktor lain UK sebagai sebahagian daripada program pada Isnin," katanya.
Turut serta dalam delegasi Kerajaan Sarawak ialah Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
|