
Pandang (lima kanan) dan Karambir (enam kiri) bersama wakil penganjur yang lain.
MIRI: Sempena sambutan ulang tahun ke-20 bandar raya Miri, Majlis Bandaraya Miri (MBM) akan menganjurkan Kempen Derma Darah Hari Bandar Raya Miri Ke-20 pada Sabtu ini di ruang legar MyyMall, Lutong.
Menurut Setiausaha Politik Premier Sarawak merangkap Penasihat Miri City Caring Society Pandang Semat, kempen itu bukan sahaja bertujuan mengumpul darah untuk keperluan hospital, malah menjadi sebahagian daripada acara tahunan untuk memperingati dua dekad kemajuan dan pencapaian Miri sebagai sebuah bandar raya.
Katanya, kempen derma darah tahun ini dianjurkan dengan kerjasama enam organisasi iaitu Persatuan India Miri, Persatuan Kebajikan Komuniti Piasau Miri, Persatuan Wanita Petroleum Miri, Miri City Caring Society, Kelab Inner Wheel Miri dan Persatuan Punjabi Miri.
Menurut beliau, penganjuran bersama ini menunjukkan semangat kerjasama komuniti dalam menggerakkan perubahan positif.
"Kempen derma darah ini bukan sekadar satu acara namun ia adalah peluang untuk kita memberi kehidupan terutama kepada mereka yang memerlukan.
"Setiap pain darah yang didermakan mampu menyelamatkan sehingga tiga nyawa, menjadikan setiap penderma sebagai wira tidak didendang dalam kisah kehidupan seseorang," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru lebih ramai orang awam tampil untuk menderma darah pada hari tersebut nanti.
Dalam pada itu menurut Pandang, tetamu kehormat pada acara tersebut nanti ialah Datuk Bandar Miri Adam Yii.
Selain derma darah, Klinik Alpro Miri juga akan menawarkan saringan darah percuma kepada peserta di bawah program PEKA B40 dan SEHATI PERKESO.
Menurut pengerusi penganjur bersama Karambir Singh, satu promosi khas untuk vaksin influenza turut disediakan pada harga istimewa RM45 sahaja.
Pendaftaran untuk Faedah Kesihatan Warga Emas juga akan diadakan sepanjang program berlangsung.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Karambir di talian 016-8785500.
|