
ALBUM: Masiung bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, Datuk James Ratib merakamkan gambar kenangan bersama para media yang hadir.
KOTA KINABALU: Dakwaan yang mengatakan pelabur menarik diri dari pembinaan kilang simen di Tongod adalah tidak benar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, dakwaan terbabit hanya sentimen negatif yang dimainkan pihak pembangkang. Menurutnya, buat masa ini kerja-kerja pembersihan kawasan sedang giat dilaksanakan.
Katanya, fitnah yang mengatakan pembinaan kilang simen hanya sebagai alasan untuk mengambil kayu balak juga tidak benar.
"Kini tiada sudah kayu balak di sini, lagipun hanya 200 ekar tanah sahaja digunakan untuk membangunkan kilang simen.
"Kita tiada niat mahu tipu atau mengelirukan rakyat di kawasan itu, apa yang kerajaan negeri mahu jelaskan, harga simen pada hari ini tidak terkawal.
"Terdapat aduan daripada pihak pemaju bahawa pengeluaran simen pada hari ini sangat terhad, memandangkan bekalan bahan mentah semakin kurang," katanya kepada media ketika ditemui di Majlis Aidilfitri 2025 bersama Media Tempatan dan Nasional di kediamannya di sini, semalam.
Beliau berkata, Sabah sebenarnya tiada kilang pemprosesan simen sebaliknya hanya pembungkusan sahaja.
Justeru katanya, kerajaan negeri masih terpaksa mengimport bahan mentah dari luar dan ini sudah pasti meningkatkan harga simen di Sabah.
"Sehubungan itu, pembinaan kilang simen kita sendiri sekali gus mampu menyelesaikan masalah ini untuk jangka masa panjang.
"Sebagai ADUN Kuamut, saya juga mempunyai visi untuk kawasan saya, berdasarkan sejarah, Kuamut pada dahulu adalah pengeluar kayu balak terbesar di Sabah. Ia diangkut ke Keningau dan perlabuhan di Sandakan untuk dieksport ke Hong Kong.
"Bagaimanapun, kemudahan infrastruktur di Kuamut tidak pernah diperkasakan, sebaliknya Sandakan yang berkembang maju," katanya.
Beliau berkata, pembinaan kilang simen di Tongod mampu memberikan limpahan ekonomi kepada Sabah, khususnya kepada penduduk kampung.
Menurutnya, usaha itu juga dapat meningkatkan taraf kehidupan yang mana kini daerah itu dikategorikan sebagai salah satu daerah termiskin di Malaysia.
Selain itu katanya, ia juga menyediakan peluang pekerjaan sekurang-kurangnya 1,000 penduduk kampung.
Berkenaan dengan isu pencemaran yang dimainkan pembangkang, Masiung berkata, pembinaan kilang simen itu tidak akan menjejaskan persekitaran di kawasan itu.
"Ini kerana kita semua mahukan kesihatan yang baik, kita tidak akan menggadaikan kesihatan rakyat hanya demi membina kilang simen yang mampu membawa manfaat bersama.
"Kita sentiasa mengikut prosedur yang ditetapkan kerajaan khususnya Jabatan Alam Sekitar. Kita perlu mematuhi Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).
"Semua pembangunan kemudahan asas serta pembinaan bangunan di kawasan itu perlu mematuhi EIA yang ditetapkan.
"Ini yang berlaku selama dua tahun kerana proses EIA sedang dilakukan dan kita tidak menyembunyikan perkara ini. Oleh itu tuduhan mengatakan kita mengadaikan kesihatan rakyat adalah tidak benar," katanya.
Dalam pada itu, Masiung yakin akan mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Katanya, semuanya terserah kepada kepimpinan parti untuk menentukan calonnya.
"Rakyat juga mahu teruskan kerajaan pada hari ini, rakyat selesa dengan kerajaan sekarang yang stabil dan mereka tidak lagi mahu wujud pergolakan yang tidak membawa manfaat pada negeri ini," katanya.
|