
Dr Yii (dua kiri) bersama ahli DAP lain menunjukkan poster insentif untukpelajar cemerlang SPM 2024 kini dibuka untuk permohonan pada sidang media hari ini.
KUCHING: Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang layak khasnya di kawasan Parlimen Bandar Kuching dan Stampin dialu-alukan memohon insentif di bawah Program Hadiah Keputusan Cemerlang SPM 2024.
Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berkata, insentif daripada Pusat Khidmat Parlimen Bandar Kuching dan Stampin itu bertujuan mengiktiraf serta meraikan pencapaian cemerlang para pelajar dalam kawasan parlimen masing-masing.
“Hari ini, kita melancarkan Program Hadiah Keputusan Cemerlang SPM 2024, yang bertujuan mengiktiraf serta meraikan pencapaian cemerlang para pelajar dalam kawasan Parlimen masing-masing.
“Inisiatif ini terbuka kepada pelajar yang tinggal di kawasan Parlimen Bandar Kuching atau Stampin yang telah menduduki peperiksaan SPM 2024,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP Sarawak di sini, hari ini.
Dr Yii berkata, menerusi program berkenaan pelajar yang memperoleh keputusan 6A dan ke atas akan menerima ganjaran dalam bentuk insentif tunai, bermula dengan RM200 bagi keputusan 6A.
Sementara RM300 untuk 7A, RM500 untuk 8A, manakala pelajar yang memperoleh 9A dan 10A ke atas akan menerima ganjaran sebanyak RM600 dan RM700.
“Bagi tujuan permohonan, pelajar perlu mengemukakan salinan kad pengenalan, salinan slip keputusan SPM 2024, sijil berhenti sekolah serta penyata bank.
“Tarikh tutup permohonan adalah pada 4 Mei,” katanya.
Beliau berkata, pelajar yang memenuhi syarat digalakkan untuk memohon melalui pautan permohonan dalam talian yang disediakan atau dengan mengimbas kod QR yang terdapat di halaman rasmi Facebook beliau (Dr Kelvin Yii) dan Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen.
“Kami menggesa semua pelajar yang layak untuk memanfaatkan peluang ini, dan merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pelajar yang telah berusaha gigih dan berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM 2024,” ujarnya.
|