Bayan Lepas: Penduduk di sekitar Taman Sahabat, Teluk Kumbar di sini, sudah bersedia lebih seminggu lalu susulan gangguan bekalan air berjadual yang dijangka berlaku selama 60 jam bermula Jumaat hingga Ahad ini.
Tinjauan mendapati, selain tong air dengan kapasiti besar, penduduk turut menggunakan pelbagai botol dan bekas yang sesuai digunakan bagi isian air.
Bagi pengasuh kanak-kanak, Jamaliah Yusoff, 51, berkata dia dan suami sudah menyimpan air sejak Sabtu minggu lalu dan berharap gangguan bekalan air itu tidak berlarutan.
Katanya, sebahagian lagi disimpan di dalam rumah dan ada tong yang diletakkan di laluan kaki lima flat yang didiami.
"Perumahan ini kerap alami gangguan bekalan kerana tekanan air yang rendah dan kali terakhir berlaku pada Khamis lalu namun hanya dalam tempoh kira-kira enam jam," katanya ketika ditemui di sini.
Penduduk, Saodah Ismail, 55, pula berkata, kejadian gangguan bekalan air selama hampir dua minggu pada tahun lalu amat memeritkan dan dia bersama anak terpaksa berulang alik hampir empat kilometer bagi mandi menggunakan air sumber dari bukit.
"Sebelum itu kami hanya mandi dua hari kerana air yang disimpan untuk kegunaan minuman dan masakan.
"Flat ini tiada lif dan kudrat saya tidak seberapa bagi mengangkut air dari lori tangki ke tingkat satu ini," katanya.
Sementara, tinjauan di sebuah pasar raya pula mendapati tong air yang dijual pada harga RM12.99 hingga RM49.99 bagi saiz antara 45 hingga 125 liter.
Penyelia pasar raya itu Amin Jafni, 30, berkata, tong air sudah tersedia bagi dijual sejak minggu lalu dan sambutannya amat menggalakkan.
Katanya, kira-kira 200 tong pelbagai saiz dijual setiap setiap hari selain gayung mandi yang turut laris.
"Berikutan itu sebanyak 180 stok tong air terpaksa dihantar dalam tempoh dua hari sekali bagi memenuhi permintaan.
"Ada juga yang datang 'borong' sehingga enam tong air bersaiz besar dan kebanyakan mereka adalah peniaga atau pengusaha kedai makan," katanya.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayan Lepas Datuk Azrul Mahathir Aziz berkata, taklimat dan perbincangan persediaan gangguan bekalan air berjadual DUN Bayan Lepas sudah dijalankan membabitkan penghulu, seramai 16 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Bomba Sukarela Gertak Sanggul, semalam.
"Penduduk juga diingatkan supaya ambil langkah awal bagi menghadapi situasi ini," katanya.
Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (BPAPP) Datuk K Pathmanathan meminta pengguna di negeri ini supaya menyimpan bekalan air secukupnya bagi kegunaan selama 24 hingga 60 jam.