Edited by Vellfire at 21-4-2025 03:26 PM

KUCHING: Kematian seekor anak kucing di dalam kawasan Kolej Kediaman Allamanda, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) tidak melibatkan sebarang unsur penganiayaan oleh manusia.
Bahagian Komunikasi Korporat UNIMAS menerusi satu kenyataan berkata, ia hasil siasatan yang dijalankan oleh Bahagian Keselamatan UNIMAS yang merangkumi proses siasatan temu bual bersama saksi-saksi kejadian, rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV), video dan gambar-gambar di lokasi kejadian.
UNIMAS melalui Bahagian Keselamatan telah menerima laporan dari warga kampus pada 18 April lalu berkenaan dengan kematian seekor anak kucing di dalam kawasan Kolej Kediaman Allamanda.
Kenyataan itu turut menegaskan, UNIMAS prihatin terhadap kejadian membabitkan kematian kucing tersebut di dalam kawasan kampus serta terus komited untuk memastikan kawasan kampus menjadi persekitaran yang selamat untuk warganya.
Justeru, katanya pihak universiti menyeru warga kampus untuk terus berkerjasama dan memberikan perhatian berterusan kepada keberadaan haiwan terbiar di dalam kampus untuk memastikan kebajikan haiwan yang juga merupakan sebahagian daripada warga kampus lestari UNIMAS untuk terus terjaga.
“Kampus UNIMAS merupakan sebuah kampus mesra haiwan dan pihak universiti sentiasa komited kepada nilai-nilai prihatin, perlindungan dan tanggungjawab sosial dalam memastikan kebajikan dan keselamatan haiwan-haiwan terbiar di dalam kampus untuk terus diberikan perhatian dan perlindungan sewajarnya,” katanya.
|