
Dr. Radzuan
KOTA KINABALU: Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) mendesak Kerajaan MADANI mengambil tindakan serius terhadap akhbar Sin Chew Daily berkaitan kes Jalur Gemilang.
Akhbar berkenaan menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap dan tertinggal bulan sabit pada muka depan surat khabar keluaran 15 April lalu.
Presiden PEMUISI, Datuk Dr. Radzuan Ibrahim berkata kerajaan perlu membawa kes itu ke mahkamah supaya hukuman tegas dikenakan sebagai pengajaran, dan tidak cukup dengan hanya meminta maaf.
“Tindakan yang tidak bertanggung jawab itu jelas melanggar Akta Lambang (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Akta 414) dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
“Kami amat terkejut dan kecewa dengan tindakan akhbar Sin Chew Daily itu,” katanya dalam kenyataan semalam.
Radzuan berkata, Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan dan identiti nasional yang tidak boleh dipermainkan.
“Bulan sabit yang ada dalam bendera negara kita adalah merupakan lambang kepada kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya.
Katanya, PEMUISI sebagai badan bukan kerajaan sastera seni dan budaya peringkat nasional, memandang serius hal ini dan tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak yang melanggar apa-apa peraturan dan undang-undang yang sedia ada, serta apa jua tindakan yang cuba mengancam kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan negara.
|