
RASMI: Jumain menandatangani plak ketika merasmikan masjid berkenaan.
TAMBUNAN: Masjid Al-Mu’min di Kampung Tontolob Liwan, Tambunan bernilai RM700,000 telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Haji Jumain Abdul Ghani, pada Ahad.
Kos pembinaan masjid ini dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan Ikhtiar, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam menyokong pembangunan institusi keagamaan.
Jumain berkata, walaupun saiz masjid ini sederhana, namun ia menampilkan seni bina moden kontemporari yang menarik dan dianggap antara yang tercantik di Sabah.
Beliau turut berharap agar masyarakat Islam setempat dapat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang tersedia bagi melaksanakan tuntutan agama dengan lebih sempurna.
Pada majlis yang sama, Pengerusi Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Paiman Haji Abdul Karim telah menyerahkan sumbangan wang tunai sebagai tanda sokongan terhadap pengimarahan masjid berkenaan.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Awang Juri Awang Tahir dan para pegawai daripada JHEAINS dan JAKIM.
SUMBANGAN: Paiman menyampaikan sumbangan kepada Masjid Al-Mu’min Kampung Tontolob Liwan.
|