Edited by Vellfire at 21-4-2025 03:12 PM

Anggota bomba memadam kebakaran yang meranapkan rumah pekerja di Jalan Kidurong, awal pagi tadi.
BINTULU: Dua mangsa cedera melecur selepas rumah pekerja yang didiami mereka di Jalan Kidurong musnah dalam satu kebakaran awal pagi tadi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.42 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong bersama bantuan Water Tanker dari BBP Bintulu dikejarkan ke lokasi.
Anggota bomba memadam kebakaran yang meranapkan rumah pekerja di Jalan Kidurong, awal pagi tadi.
Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah rumah struktur tidak kekal bersaiz anggaran 60×30 kaki persegi telah terbakar 100 peratus.
“Kebakaran ini melibatkan dua mangsa iaitu warga emas, Pudai Sumbang, 59, dan remaja lelaki, Irwin Indang, 17, yang cedera akibat melecur di bahagian badan dan tangan,” kata kenyataan itu.
Difahamkan kedua-dua mangsa sempat melarikan diri keluar dari rumah sebelum ketibaan pasukan bomba dan kemudiannya dihantar ke Hospital Bintulu menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran hos sepanjang 200 kaki dengan dua nozel, dibantu oleh pam jentera dan sumber air dari Water Tanker BBP Bintulu.
Operasi sedikit terhalang berikutan ketiadaan pili bomba berhampiran lokasi kejadian.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.18 pagi.
Pihak Bomba menasihati orang ramai supaya sentiasa peka terhadap aspek keselamatan kebakaran, terutama melibatkan struktur kediaman tidak kekal, dan memastikan laluan keluar-masuk rumah sentiasa bebas halangan demi keselamatan diri dan keluarga.
|