Edited by Vellfire at 21-4-2025 09:56 AM
Pergerakan lapan PATI dikesan menyeberangi Sungai Selampit, dijemput dua kenderaan yang menunggu di lokasi

JIM mengesan sekumpulan PATI menyeberangi sungai dalam operasi khas di Jeti Kampung Selampit, Lundu semalam.
KUCHING: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak telah berjaya menumpaskan satu kes penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi khas di jeti Kampung Selampit, Lundu semalam.
Bertindak atas maklumat, pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi sekitar jam 7.20 pagi dan jam 2.30 petang, pergerakan lapan PATI dikesan menyeberangi Sungai Selampit dan dijemput oleh dua kenderaan yang menunggu di lokasi.
Pengarah Imigresen Sarawak Abdul Halim Abang Naili dalam satu kenyataan hari ini berkata pasukan operasi mula mengekori dua kenderaan tersebut sebelum melakukan serbuan apabila mereka berhenti di tempat letak kereta sebuah kedai makan di pekan Bau.
"Hasil siasatan awal mendapati PATI telah masuk ke negara ini melalui pintu masuk yang tidak diwartakan dan tidak memiliki apa-apa dokumen perjalanan yang sah.
"Difahamkan PATI ditawarkan perkhidmatan untuk dihantar ke lokasi ladang kelapa sawit di sekitar Tatau dan Sarikei dengan bayaran sebanyak RM2,300 seorang oleh ejen haram ini.
"Modus operandi yang dikenal pasti menunjukkan wujudnya jaringan ejen haram yang berperanan sebagai pengangkut atau transporter bagi membawa masuk pendatang asing melalui laluan yang tidak sah.
"Tindakan ini dipercayai sebahagian daripada aktiviti penyeludupan manusia yang terancang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba mengelakkan kawalan keselamatan di pintu rasmi negara," katanya.
Sekumpulan PATI dikesan dan berjaya ditahan dalam operasi khas di jeti Kampung Selampit, Lundu.
Dalam operasi ini, JIM telah menangkap dan menahan seramai lapan PATI lelaki warganegara Indonesia dan dua orang lelaki warganegara Malaysia yang bertindak sebagai transporter, berusia antara 40 tahun hingga 50 tahun.
Pasukan operasi turut merampas tiga telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM7,147 dan sebanyak dua kenderaan turut disita untuk tujuan siasatan.
Kesemua PATI ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 manakala siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 6(3) akta sama serta Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007).
JIM dalam pada itu menyeru semua pihak agar mematuhi undang-undang demi kesejahteraan bersama dan langkah proaktif akan terus diambil bagi meningkatkan kesedaran awam.
|