Laksana usaha pastikan masyarakat yang berhak, terutama asnaf mendapat hak mereka

Abang Mohd Shibli (duduk) bersama tetamu kehormat yang lain pada Majlis Hari Bersama Pelanggan Ramah Mesra Aidilfitri Bahagian Sibu di Kompleks Islam Sarawak Sibu, hari ini.
SIBU: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) akan melaksanakan usaha tanpa henti dalam memastikan masyarakat yang berhak, terutama golongan asnaf mendapat atau menerima hak mereka.
Pengurus Besar TBS Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata, tahun lepas TBS telah mengagihkan RM112 juta kepada mereka yang berhak dan mereka yang terkesan dalam aspek-aspek tertentu.
"Inilah usaha kita yang tidak putus-putus di mana kita memastikan bahawa masyarakat yang berhak ini khususnya asnaf mendapat hak mereka melalui empat program, antaranya adalah program untuk pendidikan, kebajikan, institusi Islam yang menjalankan usaha membantu dan untuk meningkatkan kemahiran dalam kalangan anak-anak asnaf dan mereka di bawah kategori B40.
"Apa yang penting di sini, apabila kita mampu menimbulkan keyakinan kepada masyarakat, banyak yang akan menyumbang dan mengeluarkan zakat mereka dan daripada dana-dana inilah kita gunakan untuk bergerak, untuk memastikan semua yang berhak itu dapat kita bantu," ujarnya kepada pemberita pada Majlis Hari Bersama Pelanggan Ramah Mesra Aidilfitri Bahagian Sibu Tahun 2025/1446H di Kompleks Islam Sarawak Sibu, hari ini.
Abang Mohd Shibli berkata, program tersebut adalah majlis ramah-tamah Aidilfitri yang pertama bagi zon tengah meliputi bahagian Sibu, Mukah, Sarikei.
"Tujuan kami adalah untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan kami, rakan strategik dan juga jabatan-jabatan, agensi-agensi yang telah banyak membantu dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kami.
"Dan sempena Hari Raya ini, inilah peluang kita saling bersemuka dan memohon maaf zahir dan batin," katanya sambil menjangka sekitar 1,000 orang hadir.
Beliau juga memberitahu, program tersebut juga akan dianjurkan di peringkat bahagian Mukah dan Sarikei. "Kita sudah laksanakan untuk zon lain seperti Bintulu dan sebagainya.
"Kami akan ke Miri pada 23 April ini dan Kuching pada 21 April.
"Jadi, kami ingin mengajak para pelanggan kami, para penyokong dan yang selalu berhubung dengan kami turut bersama-sama meraikan Aidilfitri," ujar Abang Mohd Shibli.
|