
Penjawat awam Kerajaan Sarawak daripada pelbagai agensi menghadiri Program Pembangunan Kapasiti (Advance) Panel Tenaga Pakar Dasar Amalan Baik Peraturan Sarawak anjuran STIU.
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus komited memperkasa ekosistem tadbir urus berasaskan prinsip Amalan Baik Peraturan (ABP) yang cekap, telus dan berimpak tinggi.
Perkara itu dinyatakan Pengarah Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) Superi Awang Said semasa Program Pembangunan Kapasiti (Advance) Panel Tenaga Pakar Dasar Amalan Baik Peraturan Sarawak baru-baru ini.
“Ini merupakan salah satu langkah Kerajaan Sarawak ke arah memantapkan aspek Ease of Doing Business yang merupakan teras strategik dalam Strategi Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Saperi berkata STIU yakin pelaburan berterusan dalam pembangunan kapasiti ini akan memperkukuh keupayaan panel tenaga pakar untuk memacu agenda reformasi peraturan di Sarawak, seiring aspirasi kerajaan negeri ke arah pentadbiran berprestasi tinggi dan berinovatif.
Program yang berlangsung selama dua hari itu (15-16 April 2025) disertai 11 penjawat awam Kerajaan Sarawak daripada pelbagai agensi.
Antara lain program itu bertujuan memperkukuhkan kefahaman para peserta terhadap tujuh Elemen Analisis Impak Peraturan (Regulatory Impact Analysis - RIA), yang menjadi tunjang dalam penambahbaikan peratusan secara sistematik serta berasaskan bukti.
“Panel Tenaga Pakar GRP Sarawak memainkan peranan sebagai penyelaras projek-projek di bawah inisiatif Key Focus Activities (KFA) 2.0, yang merupakan kesinambungan dan penambahbaikan daripada inisiatif KFA yang mula diperkenalkan pada tahun 2010.
“Bermula tahun 2023, melalui pelaksanaan Pekeliling KFA2.0, semua Kementerian dan agensi di bawah Jabatan Premier Sarawak diwajibkan untuk mengemukakan sekurang-kurangnya satu projek berkaitan penambahbaikan proses dan/atau peraturan pada setiap tahun,” jelas Saperi.
|