Edited by Vellfire at 17-4-2025 10:03 AM

Chong Wei (tengah), Ling (dua kanan) dan Chiew (dua kiri) bergambar kenangan selepas pertemuan mereka baru-baru ini.
MIRI: Ahli Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN) Alan Ling menyuarakan jemputan beliau kepada legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei untuk berkunjung ke Sarawak.
“Saya pasti ramai yang akan meluangkan masa untuk berjumpa dengan beliau sekiranya beliau berkunjung ke Sarawak suatu hari nanti.
“Ia akan menjadi peluang keemasan untuk golongan muda belajar daripada seorang tokoh sukan yang tidak hanya berjaya dalam karier tetapi juga dalam membentuk nilai disiplin dan integriti yang tinggi,” kata Ling kepada Utusan Borneo di sini.
Ling berkata jemputan tersebut disuarakan oleh beliau semasa mengadakan majlis makan malam bersama bekas pemain perseorangan negara itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau berkata menerusi kunjungan itu kelak, Chong Wei boleh berkongsi pengalaman, kemahiran dan ilmu beliau dengan para atlet muda di Bumi Kenyalang.
Pada majlis itu juga, Ling turut memperkenalkan Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man yang turut hadir bersama dalam perjumpaan yang penuh bermakna tersebut.
“Saya dan Chiew sememangnya amat bersyukur diberikan peluang yang berharga ini dan ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas jasa beliau sebagai seorang tokoh sukan badminton yang membanggakan negara suatu ketika dahulu dan sering kali mengharumkan nama negara di persada dunia.
“Chong Wei bukan sahaja merupakan tokoh dalam bidang sukan, beliau juga adalah simbol perpaduan.
“Sokongan rakyat Malaysia terhadapnya, yang terdiri daripada pelbagai kaum jelas menunjukkan bagaimana beliau berjaya menyatukan rakyat melalui semangat dan kecemerlangan sukan,” jelas Ling.
Beliau turut mengimbau jasa-jasa Lee yang terus memberi sumbangan besar kepada pembangunan sukan negara, khususnya melalui peranannya sebagai Ahli Lembaga Pengurusan MSN pada masa ini walaupun telah bersara sebagai pemain badminton.
Majlis tersebut juga menjadi platform bagi sesi pertukaran pendapat dan pandangan mengenai pembangunan sukan di Malaysia, khususnya dalam sukan badminton.
Ling turut menekankan bahawa sikap terpuji yang dimiliki oleh Lee adalah contoh terbaik untuk diikuti oleh para atlet.
“Lee adalah seorang pemain yang sangat berdisiplin, patuh kepada jurulatih dan mempunyai sikap rendah diri.
“Ini adalah ciri-ciri seorang atlet yang terbaik dan saya berharap para atlet di negara ini dapat mencontohi sikap beliau.
“Semoga Datuk Wira Lee Chong Wei terus memberi inspirasi kepada golongan muda untuk terlibat dalam bidang sukan dan memupuk disiplin serta kecemerlangan dalam setiap langkah mereka,” tambah Ling.
|