
(Dari enam kiri) Teo dan Yii dan wakil enam syarikat China yang terbabit dalam menandatangani MoU bersama Imasa Dinasti di Dewan Bandaraya Miri, hari ini.
MIRI: Projek Bandar Pintar Kenyalang (KSC) Sarawak merupakan peneraju pembangunan berimpak tinggi di Miri yang mewakili gabungan inovatif teknologi pintar (AI), tenaga lestari dan urbanisasi moden.
Teras transformasi ini adalah kerjasama di antara China Energy Engineering Group Guangxi Electric Power Design Institute (CEEC-GXED), peneraju infrastruktur Global Fortune 500 dan pemaju Sarawak Imasa Dinasti Sdn Bhd.
Kolaboratif pintar itu diserlahkan melalui memorandum persefahaman (MoU) untuk pembangunan Projek Tenaga Hijau dan Sistem Teknologi Tenaga Pintar di tapak pembangunan KSC di Senadin.
Sementara itu, MoU yang dimeterai petang tadi adalah antara enam yang ditandatangani dengan Imasa Dinasti di Dewan Bandaraya Miri dan disaksikan Datuk Bandar Miri Adam Yii.
MoU itu ditandatangani dengan Shandong Yutong Road dan Bridge Group Co Ltd, Shandong Tianhua Industry Co Ltd, Shandong Dawang Energy Development Co Ltd, UBlok Advanced Materials Co Ltd serta Beijing Shenhui Construction Engineering Co Ltd untuk kerjasama dalam pembangunan berimpak tinggi KSC.
Menurut Pengerusi Imasa Dinasti Teo Ah King, kerjasama strategik itu menekankan kedudukan KSC sebagai inisiatif bandar pintar utama Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030).
Projek pembangunan itu juga mengintegrasikan teknologi canggih IoT, AI dan 5G untuk mencipta ekosistem bandar pintar yang dilengkapi dengan fasiliti pendidikan, penyelidikan dan perubatan bertaraf dunia dengan pembangunan lestari, pusat inovasi dan penyelidikan melalui kerjasama Imasa Dinasti dan The Institutes of Integrative Medicine of Fudan University (FDIIM).
Selain itu, infrastruktur teknologi KSC akan menampilkan Pusat Konvensyen dan Pameran Kenyalang (KCEC) yang diintegrasikan bersama Pusat Seni Persembahan dan Muzium Warisan Budaya Sarawak.
“Kemudahan bertaraf dunia ini akan menjadikan Miri sebagai destinasi utama di utara Sarawak untuk perniagaan, inovasi dan pertukaran budaya,” jelas Teo sambil menambah, visi Premier Sarawak untuk PCDS 2030 menyatakan dengan jelas bahawa Sarawak pada tahun 2030, akan menjadi masyarakat makmur yang didorong oleh data dan inovasi di mana semua menikmati kemakmuran ekonomi, inklusiviti sosial dan persekitaran lestari.
KSC mewujudkan visi ini melalui model perkongsian awam-swasta inovatif, menunjukkan bagaimana kerjasama strategik boleh mempercepatkan pertumbuhan.
KSC adalah asas kepada masa depan yang ingin kita bentuk untuk Sarawak, membangunkan bandar seperti KSC selari dengan transformasi ekonomi yang kami bayangkan untuk utara Sarawak, jelas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika merasmikan KSC.
Pembangunan tenaga hijau yang digabungkan dengan reka bentuk bandar pintar dan melalui pelbagai kerjasama dengan syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa, bagi memastikan KSC berdaya saing dengan pembangunan bandar pintar global selari dengan kehendak ekonomi global yang berlandaskan k-ekonomi, bioekonomi dan AI.
Menurut Teo lagi, pembangunan ini memposisikan KSC sebagai model pembangunan bandar lestari di rantau ASEAN.
“Dengan menarik pelaburan global dan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi, KSC berpotensi mendorong peralihan Sarawak ke ekonomi digital dan karbon rendah sambil menetapkan piawaian baharu untuk pembangunan bandar masa depan.
“Pembangunan KSC bakal mewujudkan mewujudkan peluang pekerjaan bermakna untuk komuniti tempatan sambil memperkenalkan paradigma baharu kehidupan yang menyelaraskan kemudahan moden dengan kesedaran alam sekitar, kemajuan teknologi dengan pemeliharaan budaya serta kemakmuran ekonomi dengan kualiti hidup,” tambah Teo.
|