
Poster Program Jom Baca Bersama 2025
KUCHING: Program Detik Malaysia Membaca dan Sarawak Membaca yang dinantikan ramai kembali lagi pada 25 April ini dengan tema ‘Nikmati Saat Ini’.
Pustaka Negeri Sarawak dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa program tahunan Jom Baca Bersama ini akan diadakan bermula jam 11 hingga 11.10 pagi di Galeri Pustaka Negeri Sarawak dan bakal dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee.
Menurutnya, sempena sambutan itu, Pustaka Negeri Sarawak turut menganjurkan dua pertandingan menarik untuk orang awam iaitu Pertandingan Menyediakan Poster Digital Sempena Jom Baca Bersama dan Pertandingan Video Ulasan Buku@Tiktok.
Kedua-dua pertandingan ini katanya, terbuka kepada semua lapisan masyarakat, memberi peluang untuk lebih ramai individu melibatkan diri dalam budaya membaca dengan cara yang kreatif.
‘Nikmati Saat Ini’ bermaksud menghargai dan memberi sepenuh perhatian kepada setiap detik dalam hidup, tanpa dibebani oleh kenangan masa lalu atau kebimbangan tentang masa depan.
“Membaca mengajar kita untuk memperlahankan langkah, menenangkan fikiran dan menyelami dunia yang terbentang antara helaian buku.
“Ia memberi kita ruang untuk berehat daripada kesibukan seharian dan membiarkan diri kita hanyut dalam kisah yang dicipta oleh penulis,” ujar kenyataan tersebut.
Sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Dayang Najwa Hazwani Awang Zaini di talian 082-442000 sambungan 339.
|