
SIBU: Seorang wanita tempatan berusia 30-an mengalami kerugian sebanyak RM108,040 selepas menjadi mangsa penipuan pembelian kenderaan secara dalam talian melalui laman sosial Facebook.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, mangsa yang merupakan seorang suri rumah telah membuat laporan polis selepas menyedari dirinya ditipu dalam urusan pembelian sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux Vigo yang diiklankan di platform berkenaan.
Menurut beliau, mangsa mula berurusan dengan suspek pada 26 Mac lalu selepas tertarik dengan iklan jualan kenderaan tersebut dan bersetuju untuk membelinya dengan harga RM29,600.
“Mangsa kemudiannya berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp, di mana suspek memperkenalkan diri menggunakan nama palsu.
“Suspek turut memaklumkan beberapa bayaran tambahan diperlukan kononnya untuk mempercepatkan proses pembelian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mangsa kemudian melakukan beberapa transaksi pembayaran secara berperingkat melibatkan urusan pendaftaran, bayaran mahkamah, cukai dan caj-caj lain ke atas akaun yang diberikan oleh suspek.
Pada 27 Mac, mangsa membuat sebanyak 32 transaksi pemindahan wang ke 10 akaun bank tempatan, dengan jumlah keseluruhan pembayaran mencecah RM108,040.
“Setelah semua pembayaran dibuat, suspek mula memberi pelbagai alasan berhubung penghantaran kenderaan dan akhirnya tidak lagi dapat dihubungi.
“Mangsa kemudiannya sedar telah menjadi mangsa penipuan lalu membuat laporan polis,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai agar tidak mudah terperdaya dengan urusan jual beli kenderaan secara dalam talian, terutamanya melalui platform yang tidak sah dan tanpa jaminan keselamatan.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau membuat semakan terhadap akaun bank dan nombor telefon yang meragukan boleh melayari laman sesawang https://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.
|