
Pang (kanan) bersama tetamu dan ahli-ahli PPWS memotong kek sebagai simbolik perasmian Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri PPWS Daerah Bintulu-Tatau hari ini.
BINTULU: Peranan Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) amat dihargai atas usaha berterusan memperkasakan golongan wanita dalam pelbagai aspek kehidupan di negeri dan negara ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang berkata, sama ada dalam bidang sosial, ekonomi, sehinggalah kepada pembangunan komuniti, wanita memainkan peranan penting sebagai ejen perubahan yang positif.
Katanya, sumbangan PPWS bukan sekadar membantu golongan wanita bahkan sentiasa menyokong inisiatif pembangunan setempat.
"Saya percaya apabila wanita diberi ruang dan peluang yang saksama, keseluruhan komuniti akan turut berkembang maju," ujarnya ketika berucap pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri PPWS Daerah Bintulu-Tatau di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Jepak Noriha Ali yang mewakili ADUN Jepak Iskandar Turkee, Pengerusi PPWS Daerah Bintulu-Tatau Hashimah Wahab, Pegawai Khas Ahli Parlimen Bintulu Azman Abdul Rahman, Pegawai Daerah Bintulu Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan, ketua jabatan, ketua masyarakat serta ahli-ahli PPWS.
Justeru katanya, kerjasama antara pemimpin masyarakat, agensi kerajaan dan pertubuhan seperti PPWS amatlah penting untuk memastikan semua inisiatif ini dapat direalisasikan dengan berkesan.
Pada masa sama katanya, majlis anjuran PPWS itu membawa makna yang cukup besar untuk mengukuhkan semangat kekitaan, keharmonian dan perpaduan dalam komuniti, tidak mengira latar belakang agama mahupun kaum.
Katanya, majlis ini merupakan platform terbaik untuk mengukuhkan hubungan antara pemimpin dan rakyat, di samping menghargai kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan utama negeri ini.
Beliau turut berharap semangat ini akan terus dibudayakan dalam setiap program dan aktiviti PPWS yang akan datang.
Sementara itu, Pang telah menyumbang RM200,000 untuk menaik taraf kemudahan dapur bangunan PPWS Bintulu-Tatau di Jalan Tun Razak di sini yang masih dalam proses pembinaan.
|