
OKJ yang ditahan semula sedang menunggu proses dokumentasi selepas dibawa ke pejabat agensi.-Gambar AADK Daerah Sibu
SIBU: Empat Orang Kena Jamin (OKJ) yang gagal menghadiri sesi jaminan pegawai telah ditahan semula dalam Operasi Cegah yang dijalankan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sibu, pada Selasa.
Operasi yang bermula pada jam 7 pagi itu melibatkan lima pegawai AADK dan dilaksanakan di tiga lokasi berasingan sekitar bandar di sini.
AADK Daerah Sibu dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebook, seramai 12 OKJ berusia antara 25 hingga 40 tahun telah dibawa ke Mahkamah Majistret Sibu bagi mendapatkan perintah lanjutan.
Anggota AADK mengiringi beberapa OKJ ke Mahkamah Majistret Sibu bagi mendapatkan perintah di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983. -Gambar AADK Daerah Sibu
Daripada jumlah tersebut, seramai lapan OKJ diperintahkan menjalani rawatan dan pemulihan dalam komuniti mengikut Seksyen 6(1)(b) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Sementara itu, empat OKJ yang gagal menghadiri jaminan pegawai diperintahkan menjalani rawatan dan pemulihan dalam institusi mengikut Seksyen 6(1)(a) akta sama dan telah dihantar ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Kuching.
|