KOTA KINABALU: Dalam kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri, umat Islam sepatutnya mengangkat syiar Islam dengan penuh rasa syukur dan kehambaan kepada Allah SWT.
Namun, baru-baru ini, tular satu video yang mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat apabila seorang individu dilihat mempermainkan laungan takbir Hari Raya untuk dijadikan bahan hiburan di media sosial.

ADAM KHALEEF EILYAS
Pengetua Madrasah Al-Ubudiyyah Wal Mas’uliyyah (MADARU) Tawau Adam Khaleef Eilyas menasihatkan umat Islam supaya tidak memandang ringan perkara yang melibatkan penghormatan terhadap agama.
Katanya, laungan takbir adalah syiar Islam yang agung, ia mengandungi lafaz 'il jalalah' yang mengiktiraf keagungan dan kebesaran Allah SWT.
“Kalimah ini bukan hanya dilafazkan dalam solat dan Hari Raya, bahkan menjadi simbol keimanan serta ketaqwaan umat Islam kepada Allah SWT.
“Tindakan mempermainkan lafaz takbir termasuk dalam perbuatan menghina agama dan dikategorikan sebagai dosa besar.
“Apabila kalimah yang mulia ini dijadikan bahan jenaka atau kandungan video untuk menarik perhatian di media sosial, ia bukan sahaja mencemar kesucian agama, malah mengundang kemurkaan Allah SWT,” katanya.
Selain itu, beliau turut mengingatkan bahawa sikap memandang ringan terhadap perkara seperti ini mampu membawa implikasi besar dalam masyarakat kerana bila tidak ditegur, keadaan ini boleh menjadi satu kebiasaan kepada masyarakat.
“Lama-kelamaan mereka akan menganggap ia perkara biasa, sedangkan ia merosakkan akidah dan menjejaskan keyakinan terhadap ajaran agama Islam.
“Masyarakat diminta supaya kembali kepada sikap berhati-hati dalam memperkatakan hal-hal agama, apatah lagi dalam era digital yang menyaksikan segala perkara mudah menjadi tular tanpa sempadan,” jelasnya.
Beliau turut menyeru agar pelaku video berkenaan tampil bertaubat dengan sebenar-benar taubat (taubat nasuha) dan memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam.
“Apabila melibatkan syiar agama dan maruah, kita tidak boleh berdiam diri kerana ini bukan soal populariti atau lawak, tetapi soal tanggungjawab terhadap agama dan masyarakat.
“Saya menyarankan agar pihak berkuasa agama mengambil tindakan tegas terhadap individu yang secara terang-terangan mempermainkan agama.
“Teguran mesti disusuli dengan tindakan agar ia menjadi pengajaran dan masyarakat perlu dididik untuk memuliakan agama, bukan menjadikannya bahan hiburan,” katanya.
Baru-baru ini tular di media sosial video rakaman memaparkan tindakan seorang pengguna TikTok yang menunjukkan reaksi tidak sepatutnya selepas mendengar laungan takbir Hari Raya oleh Perdana Menteri.
Audio di dalam video itu secara jelas disunting untuk dijadikan bahan gurauan sehingga tular di media sosial.
Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan turut menyampaikan rasa kesal terhadap tindakan individu terbabit.
Beliau dipetik berkata, umat Islam tidak wajar mempermainkan takbir Hari Raya atas nama gurauan semata-mata perbezaan ideologi politik kerana takbir Hari Raya adalah tanda keinsafan serta pengagungan kepada Allah SWT atas segala nikmat-Nya.
“Bukan semua perkara perlu dibangkang, bukan semua benda boleh dijadikan bahan sindiran dan gurauan sinikal.
“Kritiklah dengan fakta jika ada perkara yang tidak dipersetujui, bicaralah dengan hujah yang benar dan dikaji secara bersungguh,” katanya.
Zulkifli berkata, berbeza pandangan tidak salah namun jangan sampai menghina, mengaib dan memfitnah.
|