

SELAMAT: Mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS di lokasi.
KOTA KINABALU: Dua remaja terselamat selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar di bulatan berhampiran Politeknik, di sini, awal pagi Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.45 pagi itu, kedua-dua mangsa berusia 18 tahun hanya mengalami kecederaan.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 2.57 pagi.
“Bertindak dengan kejadian, 12 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat,” katanya.
Beliau berkata, kebakaran membabitkan sebuah kereta jenis kompak yang terbakar 90 peratus dan terdapat dua mangsa terbabit.
"Seorang mangsa dihantar ke hospital oleh orang awam manakala seorang lagi mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke hospital Queen Elizabeth II (HQEII) untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran hose reel daripada sumber air dari jentera dan api berjaya dikawal pada jam 3.30 pagi.
“Selepas memastikan lokasi bebas dari unsur bahaya laun, operasi ditamatkan jam jam 3.59 pagi,” katanya.
|