
Gambar Facebook Sarawakku
KUCHING: Negara kehilangan seorang tokoh besar dengan pemergian Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas Perdana Menteri kelima Malaysia yang telah mencurahkan khidmat bakti tidak berbelah bagi kepada negara.
Memetik Facebook Sarawakku, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan demikian ketika menzahirkan simpati dan doa buat keluarga Allahyarham menerusi sepucuk surat kepada Tun Jeanne Abdullah.
“Saya dan isteri Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang ingin menyampaikan ucapan takziah kepada Tun dan semua ahli keluarga atas kembalinya ke Rahmatullah Tun Abdullah Ahmad Badawi pada malam Isnin.
“Pemergian beliau sudah pasti adalah satu kehilangan besar kepada negara. Saya bagi pihak keluarga dan rakyat Sarawak mendoakan Allah SWT mencucuri rahmatNya ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Amin,” ujar beliau dalam surat tersebut.
Abang Johari turut berharap agar Tun sekeluarga diberikan ketabahan dalam menghadapi dugaan ini serta dipermudahkan segala urusan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof telah mewakili Kerajaan Sarawak pada majlis penghormatan Istiadat Pengebumian Negara yang berlangsung di Masjid Negara pada jam 11.00 pagi, tadi.
Abdullah meninggal dunia pada usia 85 tahun di IJN jam 7.10 malam Isnin.
Dilahirkan pada 26 November 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Abdullah menjadi Perdana Menteri dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009 berikutan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad.
|