
Dr Sim melakukan simbolik perasmian majlis angkat sumpah ahli majlis MDLBS, semalam sambil disaksikan oleh yang lain.
SIBU: Ahli majlis adalah barisan hadapan Kerajaan Sarawak dan memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat kepada orang awam, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Beliau berkata, orang awam akan sentiasa merujuk kepada ahli majlis walaupun isu yang dibangkitkan seperti tiada bekalan elektrik, tiada bekalan air atau rumput tidak dipotong bukanlah tanggungjawab penuh pihak majlis.
“Tetapi inilah sebahagian daripada perkhidmatan yang dijangka daripada ahli majlis, justeru mereka perlu melaksanakan tugas dengan cekap dan menepati jangkaan serta sentiasa mengingati bahawa pihak majlis memainkan peranan penting dalam pembinaan negara,” tambah beliau.
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata demikian semasa majlis angkat sumpah ahli majlis Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) di Wisma Sanyan di sini, hari ini.
Majlis tersebut menyaksikan 32 ahli majlis mengangkat sumpah bagi penggal 2025-2028.
Dr Sim berkata MDLBS mempunyai sejarah panjang sejak tahun 1952 dan itu merupakan bahagian penting dalam sejarah majlis tersebut.
“Ia meliputi keluasan 6,000 kilometer persegi, iaitu lapan kali ganda keluasan Singapura.
“Jadi bila anda pergi ke Singapura nanti, anda boleh mempromosikan kawasan di bawah bidang kuasa anda. Dari segi keluasan, saya rasa mereka tiada apa-apa untuk diperdebatkan,” katanya.
Namun begitu, Dr Sim turut mengakui bahawa sentiasa terdapat kekurangan dana untuk menaik taraf kawasan di bawah bidang kuasa MDLBS kerana kadar taksiran masih kekal sejak tahun 1970-an.
Oleh itu katanya, MDLBS perlu mendapatkan dana daripada sumber lain untuk membangunkan kawasan yang kini semakin pesat berkembang. Tambah beliau lagi, Sarawak pada tahun 2025 bukan lagi Sarawak yang sama pada tahun 2015.
Katanya, setiap kali beliau bertanya kepada rakyat apa perbezaan Sarawak antara tahun 2015 dan 2025, jawapan yang sering diterima adalah pemergian bekas Ketua Menteri Tun Abdul Taib Mahmud.
“Itu bukanlah perbezaannya.
"Bezanya ialah orang yang memandang rendah kepada kita pada 2015, kini pada 2025 mereka mula memandang tinggi kepada kita.
“Sekarang, kalau kita ke Semenanjung Malaysia, kita akan lihat mereka sangat mengagumi kita.
"Kenapa mereka kagum dan kenapa mereka tidak kagum dengan Kelantan?
"Mesti ada sebabnya dan Sarawak pastinya telah melakukan sesuatu yang betul untuk mereka menyanjung kita,” katanya.
Dr Sim berkata, rakyat menghormati Sarawak kerana negeri ini semakin kaya.
“Hasil negeri kita tahun ini mencecah RM15.8 bilion dan hasil Kerajaan Sarawak dalam setahun bersamaan dengan 15 tahun hasil negeri Pulau Pinang dan lima tahun hasil negeri Selangor,” katanya.
Beliau berkata, menjelang tahun 2030 Sarawak menyasarkan untuk mendengar rakyat bertanya kenapa Semenanjung Malaysia tidak seperti Sarawak.
“Semuanya adalah mungkin dan jangan ketawakan kami seolah-olah kami hanya hutan di Borneo,” katanya.
|