Edited by sfhzuraz at 15-4-2025 06:26 PM
'Pesawah kecewa, harga benih padi turun RM2 macam tak turun'
ROSLINDA HASHIM
15 April 2025 03:09pm

Abdul Rashid (empat dari kiri) bersama sebahagian pesawah kecewa dengan penurunan hanya RM2 harga benih padi sah (BPS) bagi sekampit berkuat kuasa pada Selasa.
ALOR SETAR - Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) kecewa terhadap keputusan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang hanya menurunkan harga benih padi sah (BPS) sebanyak RM2 sekampit, berkuat kuasa pada Selasa.
Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob berkata, penurunan kecil itu tidak memberi sebarang impak besar terhadap kos keseluruhan yang ditanggung pesawah, terutamanya dalam situasi di mana harga padi merosot dengan ketara.
Menurutnya, sejak tahun 2021, harga BPS telah dinaikkan sebanyak tiga kali daripada RM35 kepada RM55 sekampit 20 kilogram, menjadikan jumlah kenaikan sebanyak RM20 dalam tempoh empat tahun.
“Jika dahulu kerajaan boleh meluluskan kenaikan sebanyak RM10 dalam satu masa atas alasan kos pengeluaran, mengapa kini hanya RM2 sahaja diturunkan walaupun harga padi semasa telah jatuh?
"Ini jelas menunjukkan ketidakseimbangan dan ia menekan pesawah,” katanya pada sidang media, di Kampung Alor Belat di sini, pada Selasa.
Abdul Rashid berkata, penurunan RM2 ini terlalu kecil berbanding peningkatan mendadak yang berlaku sebelum ini.
“Penurunan harga daripada RM58 kepada RM56 di peringkat runcit, dan daripada RM54 kepada RM52 di peringkat borong, terlalu kecil untuk beri kelegaan kepada pesawah. Kami kecewa kerana ia masih tidak seimbang dengan peningkatan harga yang berlaku,” jelasnya.
Menurutnya lagi, kerajaan memperuntukkan subsidi RM20.60 bagi setiap kampit benih kepada pengilang, menjadikan kos keseluruhan sekampit mencecah RM74.60.
“Ini bermakna, harga sebenar per kg mencecah RM3.73 sedangkan harga belian padi semasa sekitar RM1.60 sekilogram sahaja.
“Kami dapati margin keuntungan terlalu besar berpihak kepada pengilang, manakala pesawah terus terbeban.
"Jika satu hektar memerlukan kira-kira 10 kampit benih, kosnya mencecah RM560, iaitu lebih lima peratus daripada kos keseluruhan penanaman," jelasnya.
Abdul Rashid turut membangkitkan isu penguatkuasaan harga kawalan yang lemah di pasaran, apabila terdapat benih padi dijual melebihi harga siling, mencecah RM65 hingga RM70 sekampit.
“Walaupun kerajaan telah menetapkan harga kawalan, kami dapati masih ramai pesawah membeli pada harga lebih tinggi kerana penguatkuasaan longgar.
"Tambahan pula, pesawah kini hanya boleh mendapatkan benih melalui pemborong berlesen, bukan terus dari kilang seperti dahulu," katanya.
Dalam pada itu, Abdul Rashid turut mempersoalkan kenyataan KPKM yang mendakwa keputusan penyelarasan harga tersebut dibuat selepas sesi libat urus bersama pesawah.
“Kami ingin tahu siapa wakil pesawah yang dirujuk kerana PeSAWAH tidak dijemput untuk menyuarakan pandangan.
"Keputusan ini tidak mencerminkan suara sebenar pesawah yang berada di lapangan,” katanya.
Abdul Rashid turut menggesa agar kerajaan mengkaji semula harga benih padi sah dengan kembali ke paras harga lebih adil, iaitu antara RM35 hingga RM45 sekampit, selain memperbaiki agihan subsidi agar lebih memihak kepada pesawah, bukan kepada pengeluar.
“Kami harap kerajaan lebih prihatin terhadap beban yang ditanggung pesawah, bukan hanya melihat dari sudut pengeluaran.
"Pelbagai kos input lain juga naik, seperti baja, racun dan upah perkhidmatan, kami terpaksa menanggung kos lebih RM5,500 bagi setiap hektar sawah,” katanya.
https://www.sinarharian.com.my/article/722986/berita/nasional/pesawah-kecewa-harga-benih-padi-turun-rm2-macam-tak-turun
|