Kontraktor wanita rugi hampir RM1.5 juta terpedaya sindiket 'phone scam'
Oleh Aizat Sharif - April 15, 2025 @ 10:35am bhnews@bh.com.my

Foto hiasan.
PADANG BESAR: Seorang kontraktor kerugian hampir RM1.5 juta apabila menjadi mangsa sindiket penipuan yang menggunakan taktik 'phone scam'.
Penipuan bermula sejak 12 Mac lalu apabila wanita berusia 68 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu menyamar wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), memaklumkan nombor telefon digunakan terbabit kes penipuan.
Panggilan itu disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak kononnya untuk membuat laporan, di mana mangsa dihubungkan dengan pegawai polis.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata pegawai terbabit memaklumkan nombor telefon mangsa terbabit kes dadah dan polis menjumpai kad bank mangsa, sebelum mengarahkannya membeli kad sim telefon baharu dan membuka dua akaun bank untuk tujuan siasatan.
Beliau berkata, mangsa kemudian diminta meninggalkan kad sim, kad bank serta nombor pin di sebuah lokasi di sekitar Tasik Melati, dekat Beseri, di sini.
"Pada 17 Mac, mangsa diarah memindahkan wang ke akaun yang sudah dibuka dan melakukan 10 transaksi membabitkan nilai keseluruhan RM1,448,000.
"Hampir sebulan kemudian, mangsa menyedari transaksi dilakukan itu adalah meragukan, sebelum laporan polis dibuat," katanya memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/04/1384597/kontraktor-wanita-rugi-hampir-rm15-juta-terpedaya-sindiket-phone-scam
|