Edited by Vellfire at 15-4-2025 12:18 PM

PUSAT SERI MENGASIH KOTA KINABALU
KOTA KINABALU: Sempena sambutan Bulan Kesedaran Autisme Sedunia, Pusat Seri Mengasih akan menganjurkan acara tahunan “BIG Dynamic Rhythm (DR)” pada 17 April depan bertempat di SM La Salle, Kota Kinabalu bermula jam 7.30 hingga 11.30 pagi.
Pusat Seri Mengasih (Seri Mengasih Centre – SMC) adalah sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang sudah berkhidmat selama 44 tahun dalam menyediakan program pendidikan dan latihan khas untuk individu kurang upaya mental berumur antara tiga hingga 19 tahun.
SMC juga satu-satunya pusat di Malaysia yang diberi hak eksklusif untuk menggunakan Kaedah Kololoiaitu sebuah pendekatan dari Jepun yang digunakan di pusat ini selama lebih 20 tahun.
Baru-baru ini, Pusat Seri Mengasih menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk tempoh 10 tahun lagi bersama pihak Kololo Jepun, menjadikannya satu-satunya pusat yang diiktiraf secara rasmi di Malaysia untuk menggunakan latihan Kololo dalam pemantauan pihak Jepun.
BIG DR adalah aktiviti tahunan yang melibatkan pelajar, ibu bapa, penjaga serta tenaga pengajar dengan melibatkan pergerakan fizikal dalam formasi bulatan besar sambil diiringi muzik khas berdasarkan kaedah Kololo.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kefungsian pelajar autistik dalam suasana luar bilik darjah, memberi pendedahan kepada ibu bapa tentang bagaimana terapi pergerakan ini boleh membantu perkembangan anak mereka di rumah.
Ia juga mampu meningkatkan interaksi sosial dan kesedaran diri pelajar melalui aktiviti berirama berkumpulan dan menjadi platform mempromosikan Kaedah Kololo kepada masyarakat umum.
Ibu bapa yang hadir juga akan berpeluang menilai perkembangan anak mereka berdasarkan beberapa kriteria semasa aktiviti berlangsung, selain memperkukuh hubungan kekeluargaan menerusi penyertaan aktif dalam latihan ini.
BIG DR 2025 turut membuka peluang kepada orang ramai untuk mengenali lebih dekat apakah itu “Dynamic Rhythm” dan bagaimana pendekatan ini dapat menyokong pembangunan pelajar autisme dari aspek fizikal, sosial dan emosi.
Untuk maklumat lanjut mengenai program ini atau tentang Pusat Seri Mengasih, sila hubungi pihak pengurusan SMC atau di platform media sosial rasmi.
|