Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad berkata, setakat ini, tiada tangkapan baharu dibuat tetapi polis sudah mengenal pasti beberapa suspek, termasuk dua lelaki warga asing dan empat lelaki tempatan.
"Kesemua suspek ini berada di luar Pulau Pinang yang mana usaha masih diteruskan dengan bantuan Bukit Aman untuk mengesan dan menangkap mereka," katanya ketika ditanya berhubung perkembangan kes berkenaan.
Hamzah ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, di sini, malam tadi.
Sebelum ini, polis menahan lapan individu terdiri daripada warga asing dan tempatan berusia 30-an dan 40-an bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Berdasarkan siasatan, kejadian berpunca angkara dendam membabitkan perselisihan lama antara mangsa dan keluarganya di negeri ini serta negara asal mereka.