
Lau (duduk kanan) bersama pasukannya ketika membantu orang ramai memohon bantuan-bantuan yang disediakan oleh kerajaan Sarawak menerusi kaunter perkhidmatan bergerak mereka di Sibu, hari ini.
SIBU: Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan Kaunselor Kevin Lau menyeru seluruh rakyat Sarawak agar memuat turun aplikasi S Pay Global bagi membolehkan mereka menerima bantuan khas yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak serta polisi-polisi lain yang berkaitan.
Beliau berkata demikian selepas selesai menjalankan kaunter perkhidmatan bergerak bersama pasukannya di Kafe Soon Huat, Jalan Tukang Besi di sini, hari ini.
Menurut beliau, pasukannya menjalankan perkhidmatan bergerak setiap bulan, sama ada di kedai-kedai kopi dalam kawasan atau secara lawatan dari rumah ke rumah, bagi membantu rakyat menyelesaikan pelbagai masalah.
Beliau menjelaskan perkhidmatan bergerak hari ini memberi tumpuan kepada membantu golongan warga emas yang belum memohon memohon Kenyalang Gold Card (KGC) dan Faedah Kesihatan Warga Emas (SCHB).
"Selain itu, kami turut berjumpa dengan beberapa orang awam yang ingin memohon Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) yang memberikan bantuan sehingga RM800, serta bantuan pendidikan sebanyak RM1,200 kepada pelajar Sarawak yang menyambung pengajian di universiti.
"Semua bantuan tersebut memerlukan penggunaan telefon pintar, dengan permohonan dibuat melalui aplikasi S Pay Global," ujarnya.
Lau menegaskan beliau percaya keputusan kerajaan untuk menyalurkan bantuan melalui aplikasi ini adalah bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak dan digunakan untuk tujuan yang betul.
Lau (duduk tengah) bersama pasukannya semasa mengadakan kaunter perkhidmatan bergerak mereka di Sibu, hari ini.
Bantuan RM800 di bawah SKAS misalnya, hanya boleh digunakan di kedai-kedai terpilih untuk membeli barangan keperluan rumah.
Beliau turut mendedahkan SKAS terbahagi kepada tiga kategori iaitu bujang dengan pendapatan bawah RM2,500, layak menerima bantuan sehingga RM250, manakala keluarga dengan pendapatan isi rumah bawah RM5,000, layak menerima bantuan sehingga RM800 dan warga emas bendapatan isi rumah bawah RM5,000, layak menerima bantuan sehingga RM400.
"Semua bantuan ini boleh digunakan di pasar raya atau kedai terpilih untuk membeli barangan keperluan.
"Kami juga menyeru agar anak-anak kepada warga emas yang belum memohon bantuan SKAS supaya segera membantu ibu bapa mereka membuat permohonan agar dapat mengurangkan beban perbelanjaan isi rumah melalui bantuan kerajaan ini," tambahnya.
Hadir sama terlibat dalam kaunter tersebut ialah Penghulu Tiew Siik Nieng, Kapitan Tan CHing Teck, Kapitan Chew Hoo Kiong, Kaunselor Yong Ing Hock, Kaunselor Justin Wong Sing Ing, Kaunselor Johnny Ganing dan ahli-ahli parti yang lain.
|