
(Dari empat kiri) Dr Wong, Tiong, Dr Ling, Datin Sri Judy Lau serta yang lain merakamkan kenangan selepas sidang media di Sibu, semalam.
SIBU: Pameran seni bertemakan 'MY Visual Expressions' akan berlangsung di ruang legar Dewan Tun Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini dari 2 hingga 4 Mei depan.
Pengerusi penganjur pameran Dr Ling Pik Kuong berkata, pameran itu merupakan kolaboratif antara Institut Confucius UTS, Persatuan Seni Kontemporari Sibu (SCAA) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Rajang.
"Pameran ini bakal menampilkan lebih 200 karya seni. Sehingga kini seramai 68 artis tempatan telah mengesahkan penyertaan dan jumlah tersebut dijangka terus meningkat menjelang tarikh pameran," ujarnya kepada pemberita pada sidang media, hari ini.
Menurut Dr Ling, MY dalam tema itu bukan sahaja merujuk kepada 'saya' sebagai artis, tetapi juga mewakili 'Malaysia.'
"Maka, ia membawa maksud Ekspresi Visual Malaysia," katanya sambil menambah, majlis pelancaran rasmi pameran dijadualkan pada 3 Mei, jam 10 pagi sementara pameran akan dibuka kepada orang ramai dari jam 9 pagi hingga 5 petang.
Selain menjadi platform bagi para artis untuk berinteraksi dan memperkenalkan karya mereka, pameran itu juga memberi peluang kepada orang ramai untuk menghargai keindahan seni dan budaya tempatan, katanya.
Sementara itu, Pengarah Institut Confucius UTS Dr Wong Sing Sing berkata, penyertaan pihaknya dalam pameran itu merupakan satu peluang baik untuk mempromosikan seni dan budaya Malaysia kepada masyarakat di China.
"Melalui platform ini, kami dapat memperkenalkan budaya Malaysia kepada masyarakat luar, khususnya di China menerusi media sosial kami," katanya.
Mengulas mengenai kepentingan seni dalam pembangunan masyarakat, beliau berkata pendekatan baharu seperti STEAM yang menggabungkan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik, semakin relevan dalam dunia hari ini.
"Seni memainkan peranan penting dalam membentuk rekaan dan penampilan sesuatu produk teknologi.
"Kita perlukan keseimbangan antara sains dan seni kerana banyak tamadun besar bermula daripada seni sebelum berkembang kepada sains," jelasnya.
Beliau turut menekankan seni dan sains saling melengkapi serta penting dalam membentuk masyarakat yang holistik dan berbudaya tinggi.
Hadir sama ialah Presiden SCAA Raymond Tiong, Penasihat SCAA Datin Sri Judy Lau dan Bendahari SCAA Angela Chiew.
|