KUCHING: Kenaikan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia boleh memberi kesan pro dan kontra dari segi ekonomi mahupun hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.
Rata-rata ahli akademik dan penganalisis ekonomi berpendapat meskipun terdapat kedua-dua kesan tersebut, tarif berkenaan tidak akan membawa kemelesetan kepada ekonomi negara, seperti yang ditegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
AS merupakan salah satu pasaran eksport utama Malaysia, justeru kenaikan tarif akan membuat produk Malaysia lebih mahal di negara itu sekali gus mengurangkan daya saing berbanding produk di negara berkenaan.
PROFESOR DATU MOHD FADZIL ABDUL RAHMAN
Felo Utama Kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Datu Mohd Fadzil Abdul Rahman berkata, kenaikan tarif ini mempunyai kebaikan dan keburukan terhadap Malaysia.
Kebaikannya ialah Malaysia perlu memikirkan kaedah yang lebih kreatif dan mempelbagaikan usaha untuk tidak terlalu bergantung kepada AS dari segi eksportnya.
Malaysia katanya, antara negara yang masih ada lebihan dagangan dengan AS dan jika kenaikan tarif ini berlaku pada masa ini, Malaysia mungkin tidak bersedia.
"Jadi kita rasakan sudah tiba masanya untuk Malaysia mempelbagaikan kaedah untuk mengeksport barangannya tanpa terlalu mengharapkan kepada AS, walaupun kita tahu hubungan dua hala antara AS dan Malaysia dari segi perdagangan amat baik.
"Kedua, ada baiknya juga Malaysia meneruskan inisiatif untuk berunding dengan AS menerusi konsep diplomatik bagi mencari solusi menang-menang antara AS dan Malaysia," ujarnya merujuk kepada hasrat Kerajaan MADANI menghantar delegasi Malaysia ke AS untuk berunding dan mencari jalan penyelesaian berhubung tarif tersebut.
Mohd Fadzil berkata, AS merupakan rakan dagang yang sangat baik dengan Malaysia dan Malaysia sebagai sebuah negara kecil masih memerlukan perdagangan besar dengan AS.
"Kita tidak boleh lakukan kaedah yang sama dengan membalas balik tarif kepada AS kerana pada padangan saya, AS tidak akan terkesan dengan tarif yang dikenakan oleh negara kecil seperti Malaysia," jelasnya.
Menurutnya lagi, satu kaedah dan peluang paling baik bagi Malaysia pada waktu ini sebagai Pengerusi ASEAN 2025 adalah untuk mempertingkatkan perdagangan di antara negara-negara anggota ASEAN.
Pada masa ini katanya, dagangan Malaysia dengan negara-negara anggota ASEAN hanyalah sekitar 25 peratus dan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN perlu merangka satu inisiatif khusus untuk meningkatkan angka tersebut.
"Jadi ASEAN perlu memikirkan bukan daripada perspektif negara masing-masing tetapi lebih kepada kesatuan ASEAN untuk berhadapan dengan tekanan daripada AS.
"Malaysia tidak boleh membalas balik seperti mana yang dilakukan oleh China dan Kesatuan Eropah (EU) terhadap AS, tetapi ASEAN secara keseluruhan boleh memikirkan kaedah lebih bersesuaian," katanya.
PROFESOR EMERITUS DR JAMAL OTHMAN
Sementara itu, Presiden Akademi Profesor Malaysia (APM) Profesor Emeritus Dr Jamal Othman berkata, APM berpandangan bahawa Malaysia, sebagai sebuah ekonomi kecil yang terbuka tetapi terintegrasi secara global, tidak seharusnya terjerumus dalam pendekatan ini.
Katanya, walaupun tarif Presiden Trump kelihatan berisiko tinggi, Malaysia masih berpeluang meraih manfaat daripada perubahan aliran perdagangan dan alokasi sumber di peringkat global.
Melihat kepada perbezaan tarif dalam kalangan negara yang terkesan katanya, Malaysia berada dalam kedudukan yang lebih baik dengan kelebihan faedah berbanding yang lebih tinggi.
Bahkan, eksport semikonduktor Malaysia ke pasaran AS katanya, telah diberikan pengecualian khas dan Malaysia berpotensi mendapat manfaat daripada pengalihan perdagangan.
"Kami menyokong penuh tindakan proaktif Kerajaan Malaysia dalam menangani isu ini secara diplomatik.
"Adalah dalam kepentingan terbaik negara untuk bekerjasama dengan ASEAN bagi mencapai pendirian bersama melalui strategi yang rasional dan berhemat.
"Sehingga kini, Singapura merupakan satu-satunya negara ASEAN yang mempunyai FTA serantau yang lebih progresif dan menyeluruh antara ASEAN dan AS boleh dipertimbangkan tanpa mengabaikan nilai sosiobudaya yang menjadi asas kepada kestabilan negara dan komuniti kita," katanya.
DATO JONATHAN CHAI
Setiausaha Agung Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) Dato Jonathan Chai pula berkata, pengilang Malaysia terutamanya dalam sektor seperti elektronik, jentera, minyak sawit dan produk getah akan menghadapi peningkatan kos apabila menjual ke AS.
Dengan tarif baharu sebanyak 24 peratus katanya, produk Malaysia menjadi lebih mahal untuk pembeli di AS, yang berkemungkinan mengurangkan permintaan dan mengecilkan margin keuntungan.
Menurutnya, walaupun tarif terhadap Malaysia adalah lebih rendah berbanding beberapa rakan ASEAN lain, sebagai contoh Vietnam (46 hingga 49 peratus), ketidaktentuan dan gangguan dalam rantaian bekalan global mungkin memaksa syarikat untuk menyusun semula struktur kos atau mencari pasaran alternatif.
"Kerajaan Malaysia telah menyatakan hasratnya untuk berunding dengan pihak berkuasa AS bagi mengurangkan kesan negatif ini.
"Sehubungan itu, kita wajar mempertimbang untuk memulakan rundingan perjanjian perdagangan bebas dengan AS sendiri sebagai langkah untuk melembutkan kesan tarif ini.
"Kita juga boleh mempertimbangkan untuk berbincang terlebih dahulu dalam kalangan negara-negara ASEAN bagi mengambil pendirian bersama dan membina kedudukan yang lebih kukuh dalam sebarang rundingan yang konstruktif.
"Di samping itu, kami juga menyeru agar kerajaan mempercepatkan rundingan bagi perjanjian perdagangan utama seperti dengan Kesatuan Eropah dan Majlis Kerjasama Teluk, serta memanfaatkan perjanjian perdagangan dua hala dan pelbagai hala sedia ada seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perjanjian Perdagangan Bebas China-ASEAN untuk mengembangkan perdagangan," katanya.
|