
KUCHING: Lima lelaki masing-masing dikenakan hukuman denda RM4,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menyimpan secara tidak jujur kabel telekomunikasi yang dicuri milik sebuah syarikat penyedia utiliti awam (Telekom Malaysia Berhad).
Majistret Mason Jaro Lenya Barayan menjatuhkan hukuman itu ke atas Claint Douglas Jerebi, 27, Martin Stahlmann, 33, Mohamad Affendy Ahmad, 38, Muhammad Zulfiqar Khan Hasnin, 2 dan Roberto Rivenerya Chen Ronald, 21, yang dituduh di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahu atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mereka melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah di Kampung Sungai Agas Baru, Jalan Matang dekat sini pada 3 April 2025 kira-kira pukul 5 petang. Menurut fakta kes, pengadu, yang melakukan pemeriksaan kabel secara rutin, menemui satu lubang terbuka.
Setelah diperiksa pengadu menemui 400 kabel pasangan (mampu menyokong sehingga 400 sambungan individu) telah dipotong dan dicuri, menyebabkan kerugian sekitar RM10,000.
Susulan itu satu laporan polis dibuat.
Bertindak atas maklumat orang awam, sepasukan polis melakukan serbuan di hadapan sebuah rumah di Kampung Sungai Agas Baru kira-kira jam 5 petang pada hari yang sama, yang membawa kepada penahanan suspek dan merampas barangan berkaitan kes itu.
Kesemua lima tertuduh tidak diwakili peguam bela.
|