
SIBU: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Tiong King Sing (gambar) menafikan dakwaan bahawa kontraktor yang dilantik olehnya bertanggungjawab terhadap insiden habuk jatuh ke atas katil pesakit di Hospital Sibu baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau menjelaskan bahawa individu yang terlibat dalam kerja-kerja pembersihan lampu di hospital tersebut bukan kontraktor di bawah seliaannya, sebaliknya merupakan kakitangan daripada penyedia perkhidmatan hospital (One Medicare Sdn Bhd (OMSB).
“Saya ingin menjelaskan bahawa kontraktor yang saya lantik hanya bertanggungjawab terhadap pemasangan unit pendingin hawa baharu di dalam wad hospital.
“Kerja-kerja pembersihan lampu tidak termasuk dalam skop tugas mereka,” katanya.
Tiong berkata, kekeliruan mungkin timbul kerana waktu pemasangan sistem pendingin hawa hampir serentak dengan kerja-kerja pembersihan lampu.
Justeru, beliau menegaskan bahawa tuduhan yang dilemparkan terhadap dirinya adalah tidak berasas.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya telah menghubungi Hospital Sibu bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
Pihak hospital memberi jaminan bahawa satu siasatan dalaman akan dijalankan berhubung kejadian tersebut.
“Jika terdapat sebarang pelanggaran terhadap prosedur operasi standard (SOP) atau peraturan kerja, tindakan disiplin akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab,” tambahnya.
Pada masa yang sama, beliau mengingatkan semua pihak agar sentiasa mengutamakan aspek kebersihan dan keselamatan pesakit dalam setiap kerja penyelenggaraan hospital.
“Sebagai contoh, lampu perlu dilap menggunakan kain lembap bagi mengelakkan habuk berterbangan.
"Semua kerja penyelenggaraan pula mestilah mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” jelasnya.
Insiden tersebut menjadi tular di media sosial selepas tularnya satu rakaman video yang memaparkan habuk jatuh ke atas katil pesakit, dipercayai ketika kerja-kerja pembersihan dijalankan di sebuah wad.
|