View: 121|Reply: 0
|
Wajib bangun teknologi kuantum
[Copy link]
|
|
DUNIA kini semakin beralih arah menggunakan teknologi perkomputeran kuantum untuk masa depan sekali gus memberi keupayaan maksimum dan pengiraan lebih tepat untuk tujuan penyelidikan.
Negara kita juga tidak boleh ketinggalan dalam soal pembangunan perkomputeran kuantum ini kerana ia adalah masa depan dunia dan impian Malaysia untuk menjadi pelopor teknologi di rantau Asia Tenggara mungkin terjejas jika tiada usaha ke arah pembangunan dilaksanakan.
Bagaimanapun, menerusi usaha yang strategik, Malaysia kini berada di landasan yang tepat untuk menjadi peneraju dalam teknologi kuantum di rantau ini.
Usaha ini diperkukuhkan dengan penubuhan Pusat Kecerdasan Kuantum yang pertama di negara ini hasil kerjasama antara agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan syarikat teknologi kuantum terkemuka dunia.
Ia juga diharapkan dapat melahirkan tenaga kerja mahir dan menjadikan Malaysia sebagai pemain utama dalam landskap kuantum global menjelang 2035.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, penubuhan pusat kecerdasan kuantum adalah sebahagian daripada Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 yang menyasarkan negara untuk menjadi hab kuantum di rantau ini.
Beliau berkata, kerjasama dengan syarikat terkemuka dari Korea Selatan, SDT Inc yang mempunyai kepakaran dalam peralatan kawalan kuantum dan pembangunan komputer kuantum, memainkan peranan penting dalam penubuhan dan operasi pusat ini.
Pada masa sama, Pusat penyelidikan dan pembangunan gunaan nasional, Mimos dan SDT menandatangani perjanjian kerjasama untuk menubuhkan 'Quantum Valley,' sebuah hab inovasi yang direka untuk menarik syarikat antarabangsa, syarikat pemula dan pelabur.
Siraj berkata, hab ini akan memfokuskan kepada pembinaan ekosistem rantaian bekalan kuantum yang kukuh, dilengkapi dengan infrastruktur bertaraf dunia untuk mempercepatkan pengkomersialan teknologi kuantum.
"Pembangunan perkomputeran kuantum itu juga akan memberi manfaat besar kepada sektor pertahanan serta sektor lain yang disokong oleh program pembangunan yang bersifat mampan.
"Kerjasama dengan sektor swasta juga dianggap penting, memandangkan sektor swasta sering bersaing dan penemuan teknologi serta penyelesaian baru berlaku dengan pantas.
"Namun, Malaysia menghadapi kekurangan profesional dalam bidang pengkomputeran kuantum dan diharap kita mampu melahirkan lebih ramai tenaga pakar hasil kerjasama dengan institusi pengajian tinggi serta penyelidikan semasa," katanya.
Beliau berkata, beberapa universiti awam termasuk Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menawarkan kursus berkaitan pengkomputeran kuantum.
Katanya, negara ini masih kekurangan program ijazah khusus dalam bidang berkenaan dan negara mempunyai potensi untuk membangunkan program pengkomputeran kuantum khusus dengan sokongan daripada pemegang PhD yang dilatih di luar negara.
"Untuk mencapai status negara hab perkomputeran kuantum itu, kerajaan juga perlu memainkan peranan penting dalam aspek pelaburan dan usaha kolaboratif untuk menubuhkan pusat penyelidikan, membiayai projek, membabitkan pemimpin industri, menarik pakar global dan meningkatkan kesedaran awam.
"Strategi kuantum nasional juga dianggap penting untuk mencapai kemajuan yang lebih signifikan.
"Jika kita lihat semula konteks ini, Malaysia menyaksikan peningkatan pelaburan digital yang ketara, mencapai rekod RM163.6 bilion pada tahun lalu berbanding RM46.8 bilion pada tahun sebelumnya, peningkatan ini didorong kerajaan yang stabil dan dasar mesra perniagaan," katanya. - Harian Metro
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Belia & Informasi
|