
Dr Rundi (empat kiri) merasmikan ladang ternakan babi moden Greenlife Agritech di Jalan Ensengei Baki, Serian. - Gambar UKAS
KUCHING: Penternakan babi menggunakan teknologi terkini berupaya mengurangkan risiko penyakit melibatkan haiwan ternakan berkenaan terutamannya Demam Babi Afrika (ASF).
Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Menteri Industri Makanan, Komuniti dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, salah satu ladang ternakan babi moden ialah Greenlife Agritech (Sarawak) Sdn Bhd.
Terletak di Jalan Ensengei Baki, Serian katanya, ladang itu menggunakan sistem kandang tertutup, memastikan persekitaran terkawal, mengurangkan risiko penyakit dan memaksimumkan pertumbuhan ternakan.
“Ladang ini juga menggunakan baka babi berkualiti tinggi dari Amerika Syarikat serta dilengkapi dengan kemudahan kuarantin dan pembasmian kuman bagi menjamin tahap biosekuriti yang tinggi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa lawatan ke ladang penternakan babi tersebut pada Jumaat bagi melihat kaedah dan teknologi yang digunakan pemiliknya Greenlife Agritech.
Sementara itu, Greenlife Agritech menyasarkan pengeluaran sebanyak 144,000 ekor babi dalam tempoh setahun melalui pelaksanaan projek penternakan yang dijadualkan dalam tiga fasa.
Setiap fasa katanya, akan memakan tempoh dua tahun yang mana bermula tahun ini dan berakhir pada 2029, di mana pemiliknya menyasarkan pengeluaran sebanyak 48,000 ekor babi setahun.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Datuk Martin Ben, Setiausaha Tetap M-FICORD Datu Sirai Daha serta yang lain.
Dr Rundi (lima kiri) melawat ladang ternakan babi moden Greenlife Agritech di Jalan Ensengei Baki, Serian.- Gambar UKAS
|