
SIMUNJAN: Seorang lelaki dan wanita warga Indonesia ditemui mati, dipercayai dibunuh rakan senegara di sebuah ladang kelapa sawit, di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Simunjan DSP Rafhan Kepli (gambar) berkata pihaknya menerima laporan bahawa kes pembunuhan tersebut berlaku antara jam 10.30 hingga 11 pagi di rumah pekerja ladang sawit berkenaan.
Katanya, anggotanya terus ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati mangsa berusia 48 dan 56 tahun iaitu seorang wanita dan lelaki warganegara Indonesia.
“Dalam kes ini juga, seorang suspek lelaki berusia 30an telah berjaya ditangkap dan senjata pisau yang dipercayai digunakan semasa kejadian juga turut dirampas,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaaan sebagai kes bunuh dan seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1963/59 atas kesalahan tiada dokumen pengenalan diri.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kita mohon orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan polis,” ujarnya.
|