
TANGKAP: Suspek berjaya ditangkap di rumahnya rumahnya di Kampung Sentosa, Jalan Tengku Osman, Tawau.
TAWAU: Tindakan seorang wanita warga asing mencuri cincin emas, wang tunai dan telefon bimbit milik majikannya mengundang padah apabila ditahan polis, semalam.
Suspek berusia 24 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, di Kampung Sentosa, Jalan Tengku Osman di sini, kira-kira jam 1 petang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada seorang lelaki berusia 39 tahun.
Katanya, siasatan awal mendapati, kejadian itu berlaku pada Sabtu lalu, kira-kira jam 8 malam selepas suspek membersihkan rumah mangsa.
“Pengadu menyedari barang kemas iaitu cincin kahwin milik isterinya, telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM1,500 telah hilang di rumahnya, sebelum membuat laporan polis.
“Lelaki berkenaan mengesyaki semua barang yang dianggarkan bernilai RM5,200 itu telah dicuri oleh pembantu rumahnya,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis telah menahan suspek di rumahnya di Kampung Sentosa, Jalan Tengku Osman di sini.
“Pemeriksaan ke atas suspek, wanita terbabit adalah warga asing dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Suspek terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
|