
ARSIT
PUTATAN: Tarif sebanyak 24 peratus yang dikenakan negara ini oleh Amerika Syarikat dijangka akan memberikan kesan kepada rakyat.
Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan Putatan Datuk Seri Arsit Sedi berpandangan, sebagai seorang usahawan apabila tarif dikuatkuasakan pada satu-satu negeri atau negara, ia akan menjejaskan kuasa ekonomi berkenaan.
"Dalam hal ini, harga sudah pasti akan ditentukan oleh 'player'...ertinya mereka yang menentukan harga dan peningkatan kesannya adalah kepada rakyat.
"Jadi tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat, amat menjejaskan kepada ekonomi satu negeri," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya, semalam.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Sabah Fish Marketing Sdn. Bhd. (SAFMA) Mohd. Isquzawan Israq Datuk Arsit berkata, kini pengguna perlu lebih sedar untuk memilih produk-produk keluaran tempatan.
Katanya, tidak dinafikan kenaikan tarif berkenaan akan mengurangkan kuasa membeli dalam kalangan pengguna, khususnya hanya kepada produk tertentu sahaja. "Beli barangan yang dapat memberikan nilai lebih baik berbanding barangan daripada keluarga negara Amerika Syarikat.
"Pengguna masih mempunyai pilihan untuk memilih produk tempatan yang mana turut memberikan manfaat yang sama dengan produk yang diimport dari negara berkenaan," katanya.

MENJELASKAN: Mohd. Isquzawan ketika ditemui pemberita semasa di majlis berkenaan.
Oleh itu, beliau berpendapat kerajaan wajar mempertimbangkan untuk memperkasakan lagi penjenamaan terhadap produk tempatan.
Menurutnya, produk tempatan sahaja yang mampu memberikan persaingan kepada produk import.
"Kita juga harus mengurangkan kebergantungan kepada produk import dan mula menggunakan produk tempatan sebagai alternatif," katanya.
Sementara itu, beliau berkata majlis rumah terbuka yang diadakan walaupun secara sederhana tetapi mampu menarik ramai warga di sini tanpa mengira latar belakang untuk bersama-sama meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
|