Edited by sfhzuraz at 29-3-2025 03:38 AM
Tambakan di Persiaran Karpal Singh tidak ceroboh Middle Bank
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
28 Mac 2025 01:57pm

Cadangan kawasan yang akan ditambak di perairan berdekatan Persiaran Karpal Singh. (Gambar kecil: Kon Yeow)
GEORGE TOWN - Cadangan untuk menambak tanah di perairan berdekatan Persiaran Karpal Singh serta kerja-kerja pemulihan Tapak Pelupusan Sampah Jelutong tidak akan menceroboh kawasan perlindungan marin Middle Bank.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri telah memastikan bahawa projek yang dicadangkan itu tidak melibatkan kawasan yang telah dikenal pasti sebagai Middle Bank Marine Sanctuary.
“Kita telah mengenal pasti kawasan ini sebelum ini. Ia tidak akan melibatkan kawasan Middle Bank," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri di sini pada Jumaat.
Kon Yeow berkata demikian ketika menjawab soalan berhubung kawasan perlindungan marin Middle Bank.
Kawasan perlindungan marin Middle Bank meliputi kira-kira 10 kilometer persegi di perairan Selat Selatan antara pulau dan tanah besar Pulau Pinang serta merupakan satu-satunya kawasan padang rumpai laut di Selat Melaka.
Kajian mendedahkan bahawa sebanyak 429 spesies rumpai laut, pokok, tumbuhan, ikan, burung, mamalia laut, penyu, moluska, arthropoda dan ekinoderm telah ditemui di situ.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, tanah yang akan ditambak itu akan disambungkan ke kawasan sedia ada di Persiaran Karpal Singh.
Projek pemulihan tapak pelupusan sampah Jelutong dan penambakan kini sedang menunggu kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Paparan awam bagi EIA kini sedang berlangsung, jadi orang ramai, individu dan organisasi digalakkan untuk mengemukakan pandangan serta maklum balas mereka untuk pertimbangan JAS,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa tapak pelupusan sampah Jelutong, yang telah digunakan sebagai pusat pelupusan sejak tahun 1990-an, akan dipulihkan dengan cara mengitar semula sisa yang boleh dikitar semula, manakala selebihnya akan dihantar ke pusat pelupusan sementara di Pulau Burung.
“Sebaik sahaja ia dipulihkan, tanah tersebut akan digunakan untuk projek pembangunan bercampur.
“Di bawah perjanjian dengan syarikat konsesi, kerajaan negeri dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) akan menerima sebahagian daripada tanah yang telah dipulihkan,” tambahnya.
Ujarnya, tapak pelupusan sampah Jelutong kini berkeluasan antara 80 hingga 90 ekar (36 hektar).
"Jumlah keseluruhan tanah apabila ditambak adalah kira-kira 67 hektar. Ini termasuk 36 hektar tapak pelupusan. Laporan sebelum ini menyatakan kira-kira 30 hektar tanah akan ditambak di perairan berdekatan Persiaran Karpal Singh di bawah projek ini.
"Kerajaan negeri akan memperoleh antara 20 hingga 30 peratus daripada jumlah keseluruhan tanah, termasuk tanah yang ditambak,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihak konsesi akan menanggung keseluruhan kos bagi projek penambakan dan pemulihan.
"Oleh itu, mereka akan mendapat bahagian tanah yang lebih besar. Kerja-kerja pemulihan dijangka mengambil masa sekitar lima hingga enam tahun untuk disiapkan,” katanya.
Menurutnya, projek ini masih belum bermula kerana masih menunggu kelulusan EIA daripada JAS.
Sebelum ini, PDC menandatangani perjanjian dengan PLB Engineering Bhd pada tahun 2020 untuk melaksanakan kerja pemulihan dan pembangunan tapak pelupusan sampah Jelutong dengan kos sebanyak RM1 bilion.
Pada 12 Februari tahun ini, JAS telah mengeluarkan notis awam mengenai cadangan projek pemulihan dan penambakan tersebut di laman Facebook rasmi mereka.
https://www.sinarharian.com.my/article/720127/edisi/utara/tambakan-di-persiaran-karpal-singh-tidak-ceroboh-middle-bank
|