
KENANGAN: Para jemputan media merakamkan kenangan bergambar bersama Sabin dan tetamu undangan lain.
KOTA KINABALU: Media memainkan peranan yang signifikan dan disifatkan menjadi sayap kanan yang sangat penting kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) selama 25 tahun.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Seri Dr. Sabin Samitah berkata, sepanjang tempoh berkenaan, media memainkan peranan besar dalam memastikan segala maklumat yang berkaitan dengan usaha pembangunan bandar raya, isu-isu semasa, dan keperluan masyarakat disampaikan dengan tepat dan telus.
Katanya, usaha pihak media yang tidak pernah kenal lelah turut membantu DBKK menjadi lebih peka terhadap kehendak warga bandar raya serta lebih berkesan dalam merangka dasar dan melaksanakan program yang bermanfaat.
"Peranan media juga tidak terbatas kepada menyebarkan berita semata-mata kerana media turut berperanan menggalakkan pemikiran kritis dan perbincangan sihat dalam kalangan masyarakat.
"Dengan membawakan pelbagai perspektif, media membantu memperluaskan pemahaman masyarakat terhadap sesuatu isu.
"Ini sekali gus menggalakkan dialog yang membina antara pihak berkuasa tempatan (PBT), pihak berkepentingan dan masyarakat umum," katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Media di sini semalam.
PENGHARGAAN: Sabin (dua kiri) menyampaikan cenderahati kepada Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Datuk Muguntan Vanar.
Beliau berkata, pihak media juga berperanan sebagai mata dan telinga masyarakat dengan menyalurkan maklum balas secara terus kepada PBT.
Menurutnya, pandangan, cadangan, dan kritikan yang disampaikan oleh media menjadi rujukan penting bagi DBKK dalam menambah baik perkhidmatan yang diberikan.
Pada masa sama katanya, media berperanan menonjolkan suara rakyat, khususnya dalam menyuarakan keperluan dan cabaran yang dihadapi oleh masyarakat di peringkat akar umbi.
"Kerjasama erat ini membolehkan PBT bertindak secara lebih proaktif dan efektif dalam menangani isu-isu yang melibatkan warga bandar raya.
Pada majlis itu, Sabin turut menyampaikan sumbangan DBKK kepada para veteran media yang banyak berjasa dalam industri kewartawanan.
Beliau berkata, sumbangan berkenaan sebagai tanda penghargaan atas dedikasi, komitmen, dan sumbangan mereka yang tidak ternilai kepada pembangunan masyarakat melalui penulisan dan laporan berita yang bertanggungjawab.
Selain itu, DBKK turut menyampaikan penghargaan kepada jemputan media melalui penyerahan kuih-muih Hari Raya Aidilfitri sebagai tanda ingatan dan penghargaan atas kerjasama yang terjalin selama ini.
Menurutnya, penghargaan seumpama itu kepada pihak media adalah wajar dan akan terus menjadi tradisi penting yang dihargai.
|