
HANYUT: Pasukan bomba berjaya menyelamatkan mangsa selepas kenderaan pacuan empat roda dihanyut arus deras di Sungai Kampung Simpangan, di sini.
KOTA MARUDU: Dua beradik berdepan detik cemas selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka dihanyut arus deras ketika menyeberangi ‘low level crossing’ di Sungai Kampung Simpangan, di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Penolong Penguasa Bomba Mohd Hasbi Hajat berkata, kejadian berlaku apabila lelaki berusia 47 dan adiknya 30 tahun itu sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Bunsadan.
Katanya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.07 malam.
Katanya, sepasukan anggota bersama jentera kemudian digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak sembilan kilometer dari balai bomba.
“Setiba di lokasi didapati sebuah kenderaan pacuan empat roda hanyut disebabkan arus deras ketika cuba untuk menyeberangi jalan konkrit di sungai berkenaan.
“Terdapat dua mangsa lelaki dilaporkan dalam kejadian ini dan salah seorang mangsa yang berada di bumbung kenderaan berjaya diselamatkan pasukan bomba,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, abang mangsa dilaporkan masih hilang ketika keluar dari kenderaan untuk menyelamatkan diri.
“Pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan mangsa berjaya ditemui berada di tepi sungai dalam keadaan selamat. “Operasi ditamatkan jam 10.24 malam,” katanya.
Sementara itu, kenderaan mangsa yang tersangkut di batu sungai berjaya ditarik naik menggunakan perkhidmatan trak tunda (towing).
|