
(Dari kiri) Mohammed Abdullah Izkandar, Ting dan Sait pada mesyuarat penuh MPS hari ini.
SIBU: Tiada kelewatan dalam mencari penyelesaian untuk membaik pulih kawasan yang terjejas akibat tanah runtuh di Lorong Rantau Panjang Jaya di sini.
Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting berkata, MPS bersama agensi berkaitan telah mengadakan mesyuarat sekali lagi semalam untuk membincangkan mengenai perkara tersebut.
Dalam mesyuarat sebelum itu, mereka pada mulanya mencadangkan untuk melakukan cerucuk kepingan di kawasan terjejas.
"Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memberitahu kami bahawa jika mengikut cadangan awal kami untuk melakukan cerucuk kepingan, mereka lebih memilih untuk membina rumah baharu bagi penduduk yang terjejas.
"Kami pada mulanya bersetuju untuk melakukan cerucuk kepingan dan kaedah ini adalah yang paling mahal dengan anggaran kos sekitar RM7 juta.
"Itulah sebabnya kerajaan berpendapat bahawa adalah lebih wajar untuk membina rumah baharu bagi penduduk yang terjejas," katanya pada mesyuarat penuh majlis hari ini.
Ting juga berkata kejadian tanah runtuh tersebut bukan berpunca daripada ciri reka bentuk.
"Menurut JPBNS, Jalan Song-Temalat di bahagian Kapit masih berisiko mengalami tanah runtuh walaupun selepas mereka melantik empat perunding.
"Pembangunan di kawasan berbukit bukan sesuatu yang mudah seperti yang kita sangkakan.
"Kejadian seperti ini tidak pernah berlaku di Sibu," jelasnya.
Tanah runtuh pada 4 Februari lalu telah menjejaskan 43 mangsa daripada 10 keluarga dari Lorong Rantau Panjang Jaya 7 dan 12.
Sejak kejadian itu, mangsa telah ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Komuniti Kampung Bahagia Jaya di sini.
Turut hadir padamesyuarat itu ialah Timbalan Pengerusi Mohammed Abdullah Izkandar Roseley dan Setiausaha Sait Enggang.
|