Sarawak sambut baik langkah Brunei lanjut masa operasi, 10 malam hingga 12 tengah malam

Paulus memakaikan topi keledar kepada salah seorang penunggang motosikal di Limbang, semalam.
“Bagi pihak masyarakat di bahagian Limbang, kita berterima kasih kepada kerajaan Brunei Darussalam kerana bersetuju melanjutkan tempoh pembukaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) sama ada di Tedungan, Pandaruan mahupun Mengkalap sehingga jam 12 tengah malam.”
Dato Paulus Palu Gumbang ADUN Batu Danau
Oleh Mastura Ismail
LIMBANG: Sarawak menyambut baik langkah Brunei Darussalam melanjutkan masa operasi di Pos Kawalan Sempadan Imigresen daripada jam 10 malam hingga 12 tengah malam bermula semalam hingga 6 April depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang berkata, lanjutan masa operasi sehingga jam 12 tengah malam itu turut melibatkan Kompleks Kawalan dan Pemeriksaan Ujung Jalan, Pos Kawalan Sementara Labu, Pos Kawalan Imigresen Sementara Kuala Lurah dan Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujoh.
“Bagi pihak masyarakat di bahagian Limbang, kita berterima kasih kepada kerajaan Brunei Darussalam kerana bersetuju melanjutkan tempoh pembukaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) sama ada di Tedungan, Pandaruan mahupun Mengkalap sehingga jam 12 tengah malam.
“Saya percaya ini akan lebih memudahkan masyarakat kita di Limbang, Lawas dan sekitarnya untuk urusan keluar masuk terutama musim perayaan Aidilfitri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Daerah Limbang Sempena Hari Raya di kawasan bawah Jejantas Taman Tasik Mas di sini, semalam.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal.
Terdahulu Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Negara Brunei Darussalam dalam satu kenyataan kelmarin telah bersetuju untuk memberi kebenaran bagi permohonan pelanjutan tempoh masa operasi pos kawalan sempadan imigresen bagi Kompleks Kawalan dan Pemeriksaan Ujung Jalan, Pos Kawalan Sementara Labu, Pos Kawalan Imigresen Sementara Kuala Lurah dan Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujoh sehingga jam 12 tengah malam bermula 26 Mac hingga 6 April.
Paulus berkata lagi, kempen keselamatan jalan raya diadakan secara berterusan terutama pada musim perayaan bagi memberi kesedaran kepada pengguna agar lebih berwaspada dan berhati-hati.
“Pelaksanaan Kempen Keselamatan Jalan Raya ini adalah untuk mengurangkan dan mencapai sifar kemalangan maut terutama pada sambutan Aidilfitri ini. “Kita juga ingin memberi kesedaran kepada orang awam agar lebih berwaspada dan menitikberatkan keselamatan di jalan raya,” katanya.
|