Edited by Vellfire at 23-3-2025 06:10 AM

Nancy (tengah) didampingi Dr. Maziah (kiri) dan Mohd Daud (kanan) menyampaikan sampul raya kepada kanak-kanak yang mendiami insitusi milik KPWKM disini, malam tadi.
KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan semua agensi di bawahnya telah mengambil pendekatan berterusan dalam mengimarahkan bulan Ramadan pada setiap tahun.
Demikian kata Menteri KPWKM, Dato Sri Nancy Shukri ketika berucap bersempena Majlis Iftar Kasih Ramadan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Bersama Kumpulan Sasar KPWKM yang diadakan di Grand Ballroom Hotel UCSI, semalam.
“Nampaknya, walaupun dalam keadaan berpuasa, warga kementerian kami tetap meriah dengan pelbagai aktiviti dan program untuk sama mengimarahkan ibadah pada bulan mulia ini.
“Berpuasa bukan alasan untuk kita menjadi lemah, sebaliknya ia mengajar kita tentang kesabaran, ketahanan, dan keikhlasan dalam menjalankan tanggungjawab,” katanya.
Beliau juga membuat perkongsian berkaitan Ramadan, yang mana katanya sering dikaitkan dengan bulan di mana turunnya al-Quran maka perlu untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran,
Pada masa yang sama, menjadi kewajipan dalam tempoh tersebut, agar semua bersama melipat gandakan usaha untuk melakukan amal kebajikan agar amalan tersebut adalah yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya.
“Menjelang sepertiga akhir Ramadan ini, marilah kita sama-sama berdoa semoga kita bertemu dengan Malam Lailatul Qadr, yang merupakan “Malam yang lebih baik dari seribu bulan,” jelasnya.
Di peringkat Kementerian, pihaknya telah melancarkan Program Ihya Ramadan, 10 siri tazkirah Zohor, Kuiz Ramadan, Program Tadarus dan Khatam Al-Quran dan turut serta dalam World Quran Hour.
Selain kementerian, jabatan dan agensinya juga giat menjalankan pelbagai program dan aktiviti bagi mengimarahkan bulan Ramadan.
Yayasan Kebajikan Negara (YKN) berbesar hati membawakan Program Ceria Syawal YKN @ KPWKM dengan membawa Wagon Kasih YKN yang menawarkan perkhidmatan gunting rambut dan ubah suai pakaian.
Turut diadakan, edaran produk yang dihasilkan oleh Wanita Bangkit Bersasar dan anak-anak Anjung Sinar.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula telah melaksanakan pelbagai aktiviti bersama anak-anak yatim termasuk Majlis Berbuka Puasa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Bersama Ibu Tunggal dan Anak-Anak Yatim di Istana Negara dan Majlis Ramah Mesra Intergenerasi Bersama KPKM di RSK Cheras. Jabatan Pembangunan Wanita juga tidak ketinggalan dengan mengadakan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 yang diadakan di WTC pada 8 Mac yang lalu selain Program Santuni Ramadan Ketua Pengarah JPW.
Institut Sosial Malaysia turut melaksanakan pelbagai program seperti Majlis Khatam Al-Quran dan memasak bubur lambuk.
Sementara itu, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) juga melaksanakan 12 program sempena bulan mulia ini seperti Tadarus Al-Quran secara online, pertandingan hiasan Ramadan dan Program Penerapan Nilai-Nilai Murni.
Semalam, Nancy telah mensantuni seramai 270 orang kumpulan sasar terdiri daripada kanak-kanak, remaja dan warga emas dengan menyampaikan sumbangan sampul raya hasil daripada anjuran bersama YKN dan mendapat sokongan daripada rakan strategik Shapadu dan Alliance Islamic Bank.
Mereka adalah dari Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah, Kuching (KK), Sekolah Tunas Bakti & AA (L) Kuching (KK),Taman Seri Puteri & AA(P) Kuching (KK), Pusat Pemulihan Samarahan;Rumah Seri Kenangan Kuching, Desa Bina Diri Kuching dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Kuching.
Juga, Pusat Aktiviti Warga Emas SRI SATOK, Pusat Aktiviti Warga Emas DARUL HANA, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti SRI SATOK, Persatuan Cerebral Palsy Kuching Samarahan, Sarawak Blind Society, KUSIA (Kuching Spinal Injury Association), dan Persatuan Orang Pekak.
Hadir sama adalah Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Dr. Maziah Che Yusoff dan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KPWKM Mohd Daud Mohd Arif.
|