
Lee (tengah) mempengerusikan mesyuarat SUTMaC. Turut kelihatan Dr Serip (kiri) dan Selamat.
KUCHING: Semua agensi dan pihak berkepentingan dalam sektor pengangkutan digesa mengemukakan cadangan untuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) kepada Kementerian Pengangkutan Sarawak bagi (MOTS) bagi menangani isu kesesakan lalu lintas yang semakin meruncing.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, cadangan projek di bawah RMK-13 harus memberi tumpuan kepada kelestarian, pengurangan pelepasan karbon, dan memperkukuh keterhubungan yang lebih baik.
Lee turut menyeru 12 Jawatankuasa Pengurusan Lalu Lintas Bandar Peringkat Daerah (DUTMaC) untuk mengemukakan cadangan mereka serta mengetengahkan isu pengurusan lalu lintas bandar di kawasan masing-masing.
"Pengurusan lalu lintas bandar yang berkesan merangkumi pelbagai aspek seperti kawalan sistem lampu isyarat, penambahbaikan infrastruktur jalan dan papan tanda, galakan berbasikal serta berjalan kaki, serta pelaksanaan pengurusan kelajuan dan langkah penguatkuasaan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Trafik Bandar Sarawak (SUTMaC), baru-baru ini.
Semasa mesyuarat, beliau menegaskan kepentingan usaha yang diselaraskan antara pihak berkepentingan bagi menangani isu lalu lintas serta menambah baik infrastruktur jalan raya.
Lee juga menekankan peningkatan jumlah kenderaan persendirian, terutamanya kereta dan motosikal, yang telah menyumbang kepada kesesakan lalu lintas yang teruk.
Justeru, beliau menegaskan peranan penting SUTMaC dalam merangka dasar bagi mengurus lalu lintas bandar dengan berkesan sambil mempromosikan mod pengangkutan alternatif dan penambahbaikan infrastruktur.
Dalam pada itu, mesyuarat tersebut turut merangkumi taklimat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai data kemalangan, yang memberikan gambaran kepada pihak berkepentingan mengenai kawasan berisiko tinggi.
"Berdasarkan statistik dan data yang dibentangkan, kita dapat mengenal pasti kawasan yang perlu diberi lebih tumpuan serta mendengar cadangan mengenai langkah keselamatan jalan raya daripada pelbagai bahagian," katanya.
Hadir sama pada mesyuarat itu ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) Selamat Jati Yanjah.
|