
SETELAH hampir sedekad bekerja sebagai pengutip sampah di Sungai Sarawak, khususnya di Tebingan Kuching, Lan Nillie, 49, menyaksikan pelbagai sisi kehidupan, termasuk pengalaman mendebarkan apabila menemui mayat di sungai tersebut.
Pembersih sungai dari Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) itu menceritakan kisahnya apabila beliau berhadapan dengan detik cemas tersebut.
Ditanya mengenai tindakannya apabila menemui mayat tersebut, Lan menjelaskan beliau segera melaporkan perkara itu kepada pihak atasan untuk tindakan lanjut.
“Setelah hampir 10 tahun bekerja dalam bidang ini, saya pernah menemui mayat.
Sekiranya saya menemui mayat, saya terus melaporkan perkara tersebut kepada pihak LSS.
“Kemudian, mereka melaporkan kepada pihak polis untuk menguruskan perkara tersebut dengan lebih lanjut,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.
Jelas Lan lagi, beliau juga menceritakan pengalamannya berhadapan dengan buaya ketika sedang bekerja, terutamanya pada waktu pagi.
“Kadangkadang, pada waktu pagi, saya menemui buaya di tepi sungai.
Sesetengah orang mungkin menganggap peristiwa itu menggerunkan, namun saya sudah terbiasa dengan perkara tersebut.
“Lagipun, buaya itu tidak pernah mengganggu saya kerana saya juga tidak mengganggunya. Kami hanya melintasi antara satu sama lain.
Selagi tidak diganggu, buaya tidak akan mengganggu kita,” katanya.
Sementara itu, Lan menjelaskan rutin hariannya setiap hari ketika bertugas sebagai seorang pengutip sampah di sungai.
“Saya bertugas bermula jam 8.00 pagi hingga 3.00 petang, iaitu dua syif.
Seperti biasa, saya mengutip setiap sampah yang timbul di sungai menggunakan tangguk dan letakkannya ke dalam bekas yang sudah disediakan di dalam bot.
“Selesai sahaja syif pagi, saya berehat dan menyambung tugas untuk syif petang pula,” jelasnya.
Ditanya mengenai waktu sampah paling banyak terkumpul, Lan menjelaskan, pada jumlah sampah meningkat ketara musim hujan dan banjir.
“Setiap kali musim hujan dan banjir, sampah pasti bertaburan dan terapung di permukaan sungai.
“Antara yang kerap ditemui ialah botol berisi air, botol kosong, plastik, serta buluh yang hanyut dibawa arus,” katanya.
Sementara itu, Lan turut menceritakan tentang beberapa individu yang bergotong-royong membersihkan kawasan Tebingan Sungai.
“Sebelum ini, saya pernah melihat beberapa kumpulan individu bergotong-royong membersihkan kawasan Tebingan Kuching.
“Namun, kerana mereka tidak mempunyai bot, mereka tidak dapat membersihkan kawasan sungai,” katanya.
Ujar Lan, beliau senang hati melihat individu-individu tersebut bekerjasama membersihkan kawasan itu.
Selain itu, Lan turut menceritakan tentang beberapa pelancong yang menunjukkan penghargaan terhadapnya ketika bertugas di atas bot.
“Kadang-kadang, ketika bertugas, ada pelancong yang merakam usaha saya dengan telefon bimbit mereka dan mengungkapkan rasa penghargaan dengan memberi isyarat bagus (thumbs up).
“Sejujurnya, penghargaan tersebut memberikan semangat kepada saya untuk meneruskan tugasan membersihkan kawasan sungai ini,” katanya terharu.
Sehubungan itu, Lan menitipkan pesanan kepada orang ramai untuk bersama-sama menjaga kebersihan, tanpa mengira lokasi mereka.
“Tolong jaga kebersihan sungai kita. Bukan hanya sungai, di mana-mana pun anda berada, janganlah buang sampah merata-rata.
Jika ada tong sampah berdekatan, buanglah sampah di dalam tong sampah, bukan di dalam sungai atau merata-rata.
“Kadang-kadang, bukan hanya pengunjung di sekitar Tebingan Kuching yang membuang sampah, malah penduduk yang tinggal berhampiran sungai ini sendiri turut tidak bertanggungjawab dengan membuang sampah ke dalam sungai.
“Jadi, saya berharap semua orang dapat menjaga kebersihan sungai kita.
Jika sungai bersih, hati pun senang melihatnya tanpa sampah,” ujar Lan.
|