
Dr Muhammad Abdullah (depan, lima kanan) dan yang lain merakamkan kenangan sambil menunjukkan tanda bagus ketika melawat tapak Kuarters Jururawat Lama Kuching, hari ini. – Gambar UKAS
KUCHING: Projek mitigasi banjir yang sedang dijalankan di sekitar Hospital Umum Sarawak (HUS) akan diteruskan dengan beberapa penyesuaian bagi memelihara struktur utama bangunan warisan Kuarters Jururawat Lama di Jalan Tun Abang Haji Openg.
Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), keputusan ini dibuat untuk mengimbangi keperluan pengurusan banjir dengan usaha pemuliharaan warisan.
Timbalan Setiausaha Sarawak (Pembangunan dan Perancangan Ekonomi) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel berkata, kawasan itu dikenal pasti sebagai lokasi utama projek mitigasi banjir berikutan kedudukannya di tanah rendah yang kerap dilanda banjir terutama ketika air pasang.
“Pada mulanya, semua struktur di kawasan ini dirancang untuk dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek itu.
“Bagaimanapun, selepas mengambil kira kepentingan sejarah Kuarters Jururawat Lama, kerajaan negeri bersetuju untuk mengekalkan struktur utama bangunan ini.
"Sebagai kompromi, sebahagian daripada kolam tadahan yang dicadangkan akan dipindahkan ke tapak baharu di bahagian tenggara, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa perancangan negeri," katanya pada sidang media selepas lawatan tapak ke Kuarters Jururawat Lama Kuching di sini, hari ini.
Dr Muhammad Abdullah (tengah, duduk) bercakap pada sidang media selepas lawatan tapak ke Kuarters Jururawat Lama Kuching, hari ini. – Gambar UKAS
Beliau berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan pendekatan berasaskan komuniti di mana maklum balas orang awam telah diambil kira.
Persatuan Warisan Sarawak (SHS) turut mengalu-alukan keputusan kerajaan negeri untuk mengutamakan pemuliharaan warisan di samping memastikan langkah pengurusan banjir terus berkesan.
Sementara itu, Dr Muhammad Abdullah berkata Kuarters Jururawat Lama akan diubah suai menjadi ‘Anjung Kasih’, sebuah kemudahan penginapan percuma sementara untuk keluarga kurang berkemampuan bagi pesakit yang menerima rawatan di HUS.
“Kita telah memperuntukkan bajet untuk pemulihan bangunan ini, tetapi saya rasa jumlah itu masih tidak mencukupi.
“Mungkin kita boleh memohon peruntukan tambahan daripada kerajaan bagi memastikan bangunan ini dapat digunakan sepenuhnya untuk tujuan ini,” tambahnya.
Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak akan menyelia pelaksanaan projek pemulihan bangunan itu.
|