
Kong (tengah) mempengerusikan mesyuarat LPKP.
KUCHING: Sistem teksi bermeter di negeri ini akan dimodenkan dengan mengintegrasikan fungsi meter ke dalam aplikasi pengendali-pengendali e-panggilan.
Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak Michael Kong berkata, ini membolehkan pemandu teksi beroperasi melalui platform terkawal, telus dan dipacu teknologi.
Pada masa sama katanya, pemandu teksi juga akan mendapat manfaat daripada mekanisme penetapan harga yang adil, akses kepada pangkalan pelanggan lebih besar, sistem sokongan lebih berstruktur, moden, kukuh daripada pengendali e-panggilan.
“LPKP Sarawak telah mengambil pendekatan proaktif dengan melibatkan diri dengan pengendali e-hailing iaitu Grab, MyCar, Maxim, dan AirAsia Rides untuk meneroka integrasi fungsi meter teksi ke dalam aplikasi masing-masing.
“Saya gembira kerana Grab, MyCar, dan AirAsia Rides telah bersetuju untuk memasukkan fungsi ini ke dalam platform mereka, menandakan satu langkah ke hadapan yang penting dalam memodenkan industri teksi kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kong berkata, LPKP Sarawak akan terlibat aktif dengan pemandu teksi bagi memudahkan peralihan ini dan memastikan penggunaan inisiatif itu berjalan lancar. “Salah satu cabaran berterusan dalam sektor pengangkutan awam Sarawak ialah tidak menggunakan teksi bermeter.
“Ini telah menyebabkan caj (tambang) berlebihan dan orang ramai mula hilang keyakinan terhadap perkhidmatan teksi kita,” ujarnya.
Menurut beliau, teksi memainkan peranan penting dalam rangkaian pengangkutan, terutamanya kerana ia sering menjadi titik perhubungan pertama bagi pelancong yang tiba di Sarawak.
“ Jika kita ingin menambah baik industri pelancongan dan ekosistem pengangkutan awam, kita mesti memulihkan keyakinan terhadap teksi dengan memastikan penetapan harga yang adil, telus dan kompetitif,” katanya.
Kong berkata, walaupun teksi wajib beroperasi menggunakan meter, ramai pemandu risau dengan kos pemasangan yang tinggi selain kesukaran untuk membaikinya.
Pada masa ini tambahnya, hanya terdapat satu pusat membaiki meter teksi di Sarawak menjadikan penyelenggaraan menyukarkan para pemilik teksi.
Beliau berkata, setakat ini LPKP telah mengeluarkan 540 lesen teksi dan tiga lesen teksi mewah.
|