
Ketibaan Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah disambut oleh Pegawai Perhubungan Rumah Sarawak Awang Supian Awang Daud,serta kakitangan Astana Negeri Sarawak. – Gambar Astana Negeri Sarawak
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi selamat tiba di Skypark Terminal, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang hari ini bagi lawatan rasmi sempena Majlis Sungkei Anak Sarawak 2025.
Ketibaan Tun Wan Junaidi sekitar jam 12.30 tengah hari itu disambut oleh Pegawai Perhubungan Rumah Sarawak Awang Supian Awang Daud serta kakitangan Astana Negeri Sarawak yang hadir bagi memastikan kelancaran urusan sepanjang keberadaan di Kuala Lumpur.
Majlis yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini menjadi platform penting dalam mempereratkan hubungan antara anak Sarawak di perantauan.
Ia juga bertujuan mengukuhkan semangat perpaduan dan kebersamaan dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan.
Selain menghadiri majlis berkenaan, lawatan ini turut memberi ruang kepada Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah untuk bertemu dengan keluarga, sahabat, serta kenalan lama, di samping memenuhi beberapa pertemuan rasmi yang telah diatur.
Tun Wan Junaidi menzahirkan rasa syukur atas kelancaran perjalanan ini dan berharap agar segala urusan di ibu negara dipermudahkan serta diberkati oleh Allah SWT.
|