View: 20026|Reply: 0
|
Skandal P Diddy: Dakwaan baharu paksa, ancam pekerja
[Copy link]
|
|
New York: Sean 'Diddy' Combs mengaku tidak bersalah semalam, atas dakwaan baharu yang menambah tuduhan tersedia bahawa mogul hip-hop itu memaksa pekerja bekerja berjam-jam dan mengancam untuk menghukum mereka yang tidak membantu dalam skim pemerdagangan seksnya selama dua dekad.
Combs, 55, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Daerah Amerika Syarikat (AS) Arun Subramanian di Mahkamah Persekutuan Manhattan. Perbicaraan dijadualkan pada 5 Mei.
Combs yang ditahan di penjara Brooklyn sejak September 2024, sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan konspirasi pemerasan terancang, pemerdagangan seks dan pengangkutan bagi keterlibatan dalam pelacuran.
Walaupun dakwaan terkini itu tidak menambah pertuduhan baharu, ia menggambarkan apa yang dipanggil oleh pihak pendakwa sebagai 'kerja paksa' yang dilaksana Combs berkaitan dengan konspirasi pemerasan selama 20 tahun.
Pihak itu berkata Combs dan sekutunya mengekalkan kawalan ke atas beberapa pekerja dengan memaksa mereka bekerja berjam-jam tanpa tidur, menerusi penggunaan atau ancaman untuk menggunakan kekerasan fizikal, bahaya kewangan, bahaya psikologi dan kemudaratan reputasi.
Peguam bela Combs, Marc Agnifilo berkata, anak guamnya tidak pernah memaksa sesiapa, termasuk untuk melakukan perbuatan seksual di luar kehendak mereka.
Pendakwa raya dan Pejabat Peguam AS Manhattan berkata, Combs menggunakan empayar perniagaannya termasuk label rekodnya Bad Boy Entertainment, untuk mendera wanita secara seksual antara 2004 dan 2024.
Penderaan Combs yang didakwa termasuk meminta wanita mengambil bahagian dalam persembahan seksual yang direkodkan, dipanggil 'freak off' bersama pekerja seks lelaki yang ada antaranya merentasi negeri.
Agnifilo berkata, perbuatan aneh itu adalah aktiviti seksual suka sama suka.
Combs juga menghadapi berpuluh-puluh saman sivil oleh wanita dan lelaki yang menuduhnya melakukan serangan seksual dan salah laku lain.
Dia menafikan semua salah laku.
Pendengaran semalam turut membincangkan pemilihan juri, termasuk potensi kesukaran untuk mencari juri yang saksama memandangkan kemasyhuran Combs dan liputan media yang banyak mengenai kes jenayahnya.
Subramanian menetapkan, bakal juri akan mula mengisi soal selidik pada 28 April dan soal selidik secara peribadi terhadap juri akan bermula pada 5 Mei, dengan kenyataan pembukaan pada 12 Mei.
Sumber: Harian Metro
|
|
|
|
|
|
|
| |
|